KUALA LUMPUR – Malaysian Football League (MFL) mengeluarkan jadual rasmi Liga Malaysia yang bakal membuka tirai dengan perlawanan sumbangsih Piala Sultan Haji Ahmad Shah yang menemukan juara Liga Super musim lalu, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah Darul Aman FC di Stadium Sultan Ibrahim Iskandar Puteri pada 5 Mac ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, beliau berharap kesemua pasukan Liga Malaysia dapat memanfaatkan persiapan terbaik selepas jadual rasmi telah diumumkan.
“Seperti makluman MFL sebelum ini di mana tiada kejohanan Piala FA bagi musim 2021, saya berharap kesemua pasukan dapat mempersiapkan persiapan terbaik dalam memastikan persembahan berkualiti selepas jadual liga telah dikeluarkan.
“Dalam masa yang sama, saya turut berharap kesemua pasukan akan sentiasa kekal patuh dengan setiap SOP di mana setiap pasukan telah pun diberikan kebenaran mengadakan program latihan berpusat secara gelembung menerusi dua kaedah iaitu ‘Home’ dan ‘Camp Quarantine’.
“MFL menyedari bahawa ia bukan satu perkara mudah bagi industri bola sepak negara buat masa ini tetapi saya percaya keharmonian Liga Malaysia akan kekal terjaga jika kita semua memainkan peranan sebagaimana kita telah berjaya lakukan iaitu bebas daripada sebarang kluster sepanjang penganjuran Liga Malaysia bagi musim 2020,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Ab Ghani mengharapkan penonton dapat membuat penampilan kembali di stadium secara berskala kecil jika kes pesakit baharu Covid-19 menurun pada masa akan datang.
Katanya, MFL sebelum ini telah membuat permohonan kepada pihak kerajaan berkenaan usul membawa masuk penonton berskala kecil kepada Kementerian Belia dan Sukan pada November lalu.
“Tidak dilupakan Presiden MFL, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin bersama saya telah membincangkan kemasukan penonton secara berskala di peringkat awal jika kes pandemik COVID-19 menurun pada masa akan datang kepada Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Sri Reezal Merican.
“Itulah harapan MFL di mana kami mahu venue diceriakan oleh penyokong-penyokong bola sepak tempatan.
“Saya juga mahu mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada KBS di atas sokongan kepada bola sepak tempatan sepanjang Liga Malaysia berlangsung pada musim 2020 dan musim 2021,” ujarnya. – MalaysiaGazette