Penerbit dan Pelakon, Datuk Hans Isaac beramah mesra bersama peniaga pada Program Ziarah Mesra Komuniti Cina Ampang di Pasar Ampang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 20 FEBRUARI 2021.

AMPANG – Penerbit dan pelakon, Datuk Hans Isaac tidak pernah berniat untuk mengganggu mahupun melanggar kawasan mana-mana pemimpin, apatah lagi Parlimen Ampang yang amat sinonim dengan Datuk Seri Dr Zuraida Kamaruddin.

Sebaliknya Hans mahu turut serta membantu rakyat dalam kesusahan, apatah lagi golongan berpendapatan rendah (B40) yang terkesan dengan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya rasa tidak (ganggu kerja Zuraida) saya bawa badan bukan kerajaan (NGO), Kita Budak Ampang.

“Saya sudah bergerak di sini sudah setahun lebih, sebelum ini pun saya banyak kali buat program bantuan.

“Tapi mungkin tidak diuar-uarkan atau orang tidak tahu, kita buat secara senyap,” katanya ketika ditemui pemberita di Pasar Ampang, hari ini.

Terdahulu beliau bersama pasukannya, Aku Budak Ampang menyampaikan bantuan Tahun Baharu Cina kepada warga emas komuniti Cina di Pasar Ampang, sejak awal pagi tadi.

Dalam pada itu, Hans juga tidak pernah membandingkan siapa lebih baik dalam memberikan perkhidmatan dan menjaga kebajikan rakyat.

“Kalau Zuraida juga memberi bantuan untuk rakyat, kita mengalu-alukan.

“Saya seronok bergerak di Ampang untuk beri bantuan di sini dan orang-orang di sekeliling juga cuba membantu sekali, cuba buat program mereka.

“Yang dapat manfaat itu adalah rakyat, jadi saya tidak kira, saya tidak akan mengatakan siapa bagus, siapa tak bagus, tidak.

“Pasukan saya (Aku Budak Ampang) akan buat kerja apa yang kita boleh,” katanya lagi. – MalaysiaGazette