Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melancarkan pemasyhuran Kuantan sebagai bandar raya di Kompleks Ibu Pejabat Majlis Perbandaran Kuantan hari ini.- Gambar FB Muhyiddin.

KUALA LUMPUR – Ibu negeri Pahang, Kuantan dimasyhurkan sebagai bandar raya hari ini.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melancarkannya di Kompleks Ibu Pejabat Majlis Perbandaran Kuantan.

Turut mencemar duli ke majlis bersejarah itu adalah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah.

Turut hadir ialah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin.

Majlis turut menyaksikan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Datuk Hamdan Hussin dilantik dan mengangkat sumpah selaku Datuk Bandar Kuantan yang pertama.

 

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Datuk Hamdan Hussin dilantik dan mengangkat sumpah selaku Datuk Bandar Kuantan yang pertama hari ini.

Perdana Menteri dalam kenyataannya berkata, walaupun dilangsungkan dalam skala sederhana bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk membendung wabak Covid-19 namun majlis bersejarah itu akan diingati dan dibanggakan oleh segenap lapisan rakyat Pahang.

“Perubahan status bandar Kuantan tentunya akan membawa banyak kesan positif kepada penduduk dalam pelbagai segmen seperti kemudahan infrastruktur memandangkan ia merupakan sebahagian daripada keperluan untuk menjadi bandar raya.

“Kepada Datuk Bandar, bekerjalah dengan penuh tekun demi memacu kemajuan Kuantan agar berada sebaris dengan bandar raya lain di negara ini, sekali gus memberi impak positif kepada negeri dan rakyat Pahang dalam pelbagai aspek,” kata Muhyiddin.- MalaysiaGazette