Saksi yang merupakan Pengarah Audit (Sektor Tadbir Urus) Jabatan Audit Negara (JAN), Nor Salwani Muhammad hadir ke mahkamah berikutan kes perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI.

KUALA LUMPUR – Saksi kes pindaan laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang telah dianugerahkan gelaran ‘Datuk’ ketika Pakatan Harapan (PH) berkuasa menafikan pingat kebesaran itu kena mengena dengan kes tersebut.

Malah dengan tegas Pengarah Sektor Audit Tadbir Urus Jabatan Audit Negara, Nor Salwani Muhammad berkata, ia diberikan kepadanya kerana sumbangan serta jasanya yang telah berkhidmat dengan Jabatan Audit Negara (JAN).

Saksi ketujuh pendakwaan itu berkata demikian ketika disoal bertalu-tahu oleh peguambela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Saksi yang merupakan Pengarah Audit (Sektor Tadbir Urus) Jabatan Audit Negara (JAN), Nor Salwani Muhammad. Foto AFFAN FAUZI.

Shafee: Apa pandangan kamu dengan kenyataan bekas menteri (Khalid Samad) berhubung pemberian anugerah Datuk ini kepada anda?

Nor Salwani: Saya hormat pandangan beliau tetapi apa yang berlaku sebenarnya adalah pencalonan saya ini telah dibuat sebelum menteri itu buat kenyataan tersebut.

Saya terima anugerah ini kerana telah lama berkhidmat dengan JAN.

Shafee: Anda tahu apa yang Khalid katakan?

Ketika itu, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan mencelah dan menegur Muhammad Shafee dengan soalan yang ditanya beliau kepada saksi.

Zaini: Jangan tanya soalan sama dengan begitu lama. Pihak pembelaan juga tidak perlu fikir dengan begitu lama apa yang telah dikatakan oleh bekas menteri sebelum ini kepada media.

Tidak adil bagi anda untuk bertanya kepada saksi tentang apa yang sebelum ini dikatakan oleh bekas menteri.

Muhammad Shafee bertindak menyoal perkara itu kerana sebelum ini Nor Salwani dianugerahkan gelaran Datuk semasa sambutan Hari Wilayah Persekutuan pada 1 Februari tahun lalu oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Khalid ketika itu Menteri Wilayah Persekutuan berkata, anugerah itu bagi menghargai jasa Nor Salwani menyimpan bukti pindaan ke atas laporan audit 1MDB.

Untuk rekod, pada tahun 2016, Nor Salwani secara rahsia menyimpan satu daripada 60 salinan laporan asal 1MDB selepas diarahkan berbuat demikian kerana hanya salinan yang telah dipinda akan diserahkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Tindakannya itu membantu pihak pendakwaraya dalam perbicaraan kes Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy berhubung dakwaan meminda laporan akhir audit 1MDB.

Sebelum prosiding berakhir hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram memberitahu mahkamah masih ada enam saksi lain akan dipanggil oleh pihak pendakwaan.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tiba di mahkamah bagi menyambung bicara kes 1 MDB di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SHAFIY ZUL, 23 FEBRUARI 2021.

Mohamed Zaini kemudian menetapkan 11 dan 12 Ogos depan untuk sambung perbicaraan memandangkan pasukan Najib perlu menyiapkan diri bagi hujahan rayuan kes rayuan penyewelengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Rayuan pada April ini.

Ketika ini, Najib dituduh menyalahgunakan kuasanya untuk mendapatkan imuniti daripada tindakan undang-undang dan menyebabkan pindaan kepada laporan audit yang telah dimuktamadkan sebelum dibentangkan di hadapan PAC manakala Arul Kanda dituduh bersubahat dengan beliau. -MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Kah kah kah…tak payah nak pusing laaa..rakyat tahu..sikap ko yg tak amanah tu menyebabkan Menteri Wilayah calonkan ko utk anugerah Dato’. Berapa ramai org kat luar sana kerja sampai pencen pun tak dapat Dato’…poooodah!

Comments are closed.