Ketibaan kumpulan pertama vaksin Covid-19 di Malaysia. foto: SYAFIQ AMBAK.

KUALA LUMPUR – Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara menyifatkan penyertaan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang bermula esok sebagai ‘keberanian luar biasa’ yang terarah kepada pemulihan kesejahteraan kesihatan awam, kesejahteraan kehidupan rakyat dan ekonomi negara.

Pengerusinya, Senator Datuk Razali Idris berkata, sejajar dengan komitmen tinggi yang diterjemahkan Perdana Menteri berserta barisan Kabinet, pihaknya berharap jaminan keselamatan kesihatan rakyat tidak diabaikan dalam program yang menelan kos hampir RM800 juta itu.

“Sementara itu, rakyat perlu terus diberikan maklumat yang benar, tepat dan pantas dalam soal pemberian dos vaksin Covid-19 yang diperolehi Malaysia seperti Pfizer-BioNTech, AstraZeneca, Sinovac, CanSinoBio dan Sputnik V.

“Justeru, pasukan respons Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) hendaklah berada di tahap kesiapsiagaan tahap tinggi untuk memastikan impak maklumat separa benar dan palsu ditangkis dan dihindari seminima yang boleh ketika negara masih berperang dengan pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Kaukus turut melahirkan keyakinan tinggi terhadap pelaksanaan pemberian vaksin kepada rakyat Malaysia secara berfasa yang dimulakan kepada petugas barisan hadapan.

Mengulas lanjut, bagi jangka panjang, Kaukus mengesyorkan kerajaan mewujudkan Peta Pembangunan Vaksin Negara.

Katanya, ia bagi menghasilkan vaksin buatan tempatan yang mematuhi panduan antarabangsa seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), International Council For Harmonization of Technical Requirements for Pharmaceuticals for Human Use (ICH), selain garis panduan kesihatan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan Majlis Sains Negara. -MalaysiaGazette