Petugas membawa keluar vaksin Pfizer-BioNTech dari sebuah kenderaan yang dikawal ketat oleh Polis Diraja Malaysia dari pasukan Unit Tindakan Khas (UTK) semasa tiba di Kompleks Raya Airways, DHL Express (M), Subang Jaya, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 21 FEBRUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Esok, Malaysia akan memulakan program vaksinasi percuma secara besar-besaran untuk memastikan penduduk negara ini, baik rakyat tempatan mahupun warga asing, dilindungi daripada COVID-19 yang telah menjangkiti lebih 290,000 orang dan meragut lebih 1,000 nyawa.

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan itu akan diterajui oleh tidak lain dan tidak bukan iaitu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri yang bakal menjadi individu pertama di negara ini menerima vaksin tersebut – suntikan pertama daripada dua dos vaksin Pfizer-BioNTech – di Klinik Kesihatan Putrajaya, Presint 11 pada kira-kira 3 petang.

Pemimpin di seluruh dunia mengetuai senarai penerima vaksin di negara masing-masing bagi mempamerkan kepimpinan melalui teladan, selain memberi keyakinan kepada rakyat mereka bahawa vaksin itu selamat digunakan. Pemimpin negara tetangga, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dan Presiden  Indonesia Joko Widodo, juga melakukan perkara sama.

Turut dijadualkan menerima vaksin di klinik sama esok ialah Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang wajahnya dikenali hampir seluruh rakyat Malaysia sebagai “panglima” barisan hadapan negara dalam memerangi penularan virus korona.

Empat lagi petugas Kementerian Kesihatan turut tersenarai menerima vaksin itu di bawah program imunisasi berkenaan yang diawalkan dua hari berbanding jadual asal pada Jumaat ini, disebabkan penghantaran vaksin yang dibuat secara berjadual.

Sebanyak  312,390 dos vaksin Pfizer-BioNTech dihantar ke Malaysia pada Ahad, dengan sebahagian diterbangkan ke Kuala Lumpur dan Pulau Pinang sementara sebahagian lagi ke Johor. Vaksin tersebut dibawa dari Singapura yang merupakan hab pengagihan vaksin COVID-19 ke negara-negara Asia Pasifik.

Turut diumumkan kumpulan kedua vaksin jenis sama, sebanyak 182,520 dos lagi, akan tiba di negara ini esok.

Penerima dos pertama vaksin perlu membuat janji temu untuk menerima dos kedua. Vaksin Pfizer-BioNTech perlu diambil dalam dua dos, bersenggang 21 hari.

Sebelum proses vaksinasi dilakukan, perdana menteri dan mereka yang berkenaan akan diberikan taklimat khusus untuk penerima vaksin serta perlu menandatangani borang persetujuan.

Pada esok juga Muhyiddin akan melancarkan program pendaftaran vaksinasi melalui aplikasi MySejahtera bagi mempermudah pelaksanaan program imunisasi tersebut.

Pengguna telefon pintar  Android dan iOS boleh mengemas kini aplikasi MySejahtera, menjawab beberapa soalan berhubung persetujuan dan mendapatkan borang untuk menerima vaksin.

Setakat ini,  571,802 anggota barisan hadapan telah mendaftar untuk mendapatkan pelalian itu dengan  57.3 peratus merupakan petugas sektor perubatan dan kesihatan, sementara baki  42.7 peratus merupakan anggota sektor keselamatan seperti Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Jabatan Penjara, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Difahamkan kerajaan juga akan memilih sekumpulan guru, khususnya yang berisiko tinggi, serta wartawan untuk menjadi kelompok pertama penerima vaksin dalam program tiga fasa tersebut.

Fasa pertama dijadualkan bermula esok hingga April, manakala fasa kedua dari April hingga Ogos bagi warga emas berumur 60 tahun ke atas serta kumpulan rentan dengan masalah morbiditi, di samping orang kurang upaya (OKU), sementara fasa ketiga bermula Mei hingga Februari 2020 – untuk kumpulan berusia 18 tahun dan ke atas.

Malaysia telah memperoleh 66.7 juta dos vaksin COVID-19 melalui Fasiliti COVAX daripada lima pengeluar. Vaksin berkenaan ialah Pfizer-BioNTech, AstraZeneca, Sinovac, CanSinoBIO dan Sputnik V.

— BERNAMA