Hee Loy Sian

KUALA LUMPUR – Pemaju projek Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) diberi tempoh dua bulan bagi menyelesaikan kerja baik pulih tebing sungai, penstabilan dan penutupan cerun terdedah, selain menyelenggara sebahagian cerun berhampiran Sungai Ampang dekat sini bagi mengelakkan pencemaran sungai.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor Hee Loy Sian berkata, pemantauan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor mendapati, masih terdapat pencemaran sungai di Hutan Lipur Ampang berhampiran ‘Intake’ Loji Rawatan Air (LRA) Ampang.

“Setakat ini masih ada pencemaran tapi di tahap yang boleh diterima, namun sekiranya bacaan kekeruhan air mencecah 1,000 NTU (Nephelometric Turbidity Unit) dan menyebabkan LRA Ampang dihenti tugas, maka tindakan lebih tegas akan diambil termasuk mengguna pakai Enakmen LUAS 1999 (Pindaan 2020) yang baru diluluskan pada Nov tahun lepas,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan ke tapak projek EKVE di LRA Ampang di sini, hari ini.

Hee berkata untuk rekod, LRA Ampang yang membekalkan 90 juta liter air sehari kepada penduduk di Ampang telah dihenti tugas sebanyak 75 kali sepanjang tahun lepas berbanding 119 kali pada 2019 berikutan kekeruhan air Sungai Ampang yang melebihi bacaan 1,000 NTU.

Menurut JAS Selangor, projek berkenaan masih berada dalam Arahan Berhenti Kerja yang berkuatkuasa sejak 13 Oktober tahun lepas dan pemaju dilarang menjalankan kerja-kerja tanah serta pembinaan hingga ke suatu tarikh penarikan balik yang akan diberitahu kelak.

Pemaju hanya dibenar melakukan kerja baik pulih tebing sungai, penstabilan cerun dan penutupan cerun terdedah selain menyelenggara sebahagian cerun berhampiran Sungai Ampang yang runtuh akibat tekanan air dari dalam tanah dalam tempoh itu.

Dalam pada itu, Hee memaklumkan pemaju terbabit pernah dikenakan kompaun mahkamah RM100,000 pada 2017 dan RM165,000 pada 2019 kerana ia didapati mencemarkan Sungai Ampang.

Selain itu katanya Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) turut mengeluarkan kompaun RM500,000 terhadap pihak terbabit pada Okt tahun lepas kerana melangggar undang-undang berkaitan pembersihan tanah.

Bernama pada 18 Okt melaporkan kerja-kerja pembinaan projek EKVE dikenal pasti sebagai punca air keruh mengalir dari Sungai Ampang di Hutan Lipur Ampang ke Sungai Klang di sekitar ibu kota, yang  disebabkan pembukaan tanah tidak terkawal. – MalaysiaGazette