Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diminta memberi penjelasan tentang hala tuju pelaksanaan Undi 18 sebelum berlakunya pilihan raya umum.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diminta memberi penjelasan tentang hala tuju pelaksanaan Undi 18 sebelum berlakunya pilihan raya umum.

Gesaan itu diajukan oleh barisan pimpinan muda dalam kalangan parti politik tanah air antaranya Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Malaysia Shahril Sufian Hamdan, Pengasas MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Ketua AMK Kebangsaan, Akmal Nasir
dan Ketua Wira Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman.

Mereka mahu keterbukaan sekiranya SPR memanggil wakil daripada semua parti untuk memaklumkan pelaksanaan Undi18 supaya dapat disampaikan kepada generasi muda.

“Sebagai pemimpin muda dalam sistem politik merentasi parti di negara ini yang mewakili anak muda, kami ingin mengajukan pertanyaan kepada SPR tentang hala tuju pelaksanaan Undi18.

“Kami bersedia untuk dijemput menghadiri sesi penerangan atau perbincangan bersama pihak SPR agar maklumat dan situasi semasa dapat kami sampaikan kepada golongan anak muda di dalam parti masing-masing,” kata mereka menerusi kenyataan bersama hari ini.

Turut sama mengeluarkan kenyataan bersama berkenaan adalah Ketua Pemuda AMANAH, Shazni Munir Mohd Ithnin, Ketua Pergerakan Generasi Muda UPKO, Felix Joseph Sitin, Timbalan Ketua Wirawati Parti Warisan Sabah, Jo-Anna Sue Henley Rampas
Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia, Sharan Raj dan
Ketua DAPSY Kebangsaan, Howard Lee Chuan How.

Menurut mereka, adalah penting untuk melaksanakan Undi18 selepas ia telah diluluskan menerusi Dewan Rakyat dengan sokongan majoriti Ahli Dewan.

Dalam masa yang sama, kesemua mereka bimbang sekiranya hak anak muda untuk menjadi pengundi pada pilihan raya akan datang dinafukan.

“Adalah penting untuk kita semua mengakui pindaan ini telahpun menerima kelulusan majoriti 2/3 di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

“Adalah dikhuatiri sebarang tindakan untuk melengah-lengahkan pelaksanaan Undi18 ini bakal diterjemahkan sebagai usaha menafikan hak anak muda untuk mengundi dan memilih wakil mereka di Parlimen yang kini telahpun termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Sebagai sebuah negara yang mengamalkan kebebasan demokrasi sejak merdeka, penafian hak anak muda ini akan hanya menjejaskan imej Malaysia di mata dunia,” kata mereka lagi.- MalaysiaGazette