Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Tiada tawaran Biasiswa Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) untuk bidang Bahasa Tamil pada tahun ini.

Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan, ini berikutan terdapat lebihan guru mata pelajara Bahasa Tamil di sekolah menengah.

Bagaimanapun, katanya, unjuran kementerian itu mendapati terdapat keperluan guru Bahasa Tamil di sekolah rendah menjelang tahun 2026.

“Bagi mengisi keperluan ini, KPM menerusi Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) akan melaksanakan pengambilan pelajar bagi Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) bidang pengkhususan Bahasa Tamil bagi kemasukan September 2021,” kata KPM menerusi kenyataan.

KPM memaklumkan terdapat sebanyak 28 mata pelajaran yang mempunyai keperluan di sekolah menengah dan ia perlu diisi menjelang tahun 2025.

Pada 19 Februari lalu, kementerian itu mengumumkan penawaran program biasiswa ISMP yang akan dibuka secara dalan talian bermula 1 hingga 31 Mac ini.

Biasiswa itu ditawarkan sejak tahun 2012 (kecuali tahun 2017) kepada pelajar cemerlang di universiti awam yang sedang mengikuti pengajian pendidikan tahun pertama atau kedua dalam bidang tertentu.

Pelajar terbabit kemudian akan dilantik menjadi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan dan ditempatkan di sekolah menengah KPM.

KPM dalam pada itu, memberi jaminan akan terus memastikan penawaran tempat untuk sebarang program pengajian supaya bekalan guru memenuhi unjuran bidang keperluan.

Katanya, langkah itu bagi mengelak lambakan guru dan ketidakpadanan opsyen mata pelajaran. – MalaysiaGazette