Ketua Polis Daerah Serdang, ACP Razali Abu Samah (tengah) bercakap sesuatu dengan penerima sumbangan, Aldrich Conradin, 7, pada Program “1st Day At School” IPD Serdang di Pusat Pakaian Hari-Hari Sri Serdang, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 26 FEBRUARI 2021.

SERDANG – Bagi menghargai jasa dan pengorbanan anggota Polis Diraja Malaysia yang mengawal keselamatan sepanjang masa dalam tempoh getir penularan Covid-19, Pusat Pakaian Hari-Hari meraikan seramai 250 orang anak polis dari kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang.

Setiap seorang mereka akan menerima baucer bernilai RM100 bagi membeli  kelengkapan sekolah menjelang pembukaan sesi persekolahan bermula 1 Mac ini.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah yang hadir memeriahkan program itu terharu dengan sentuhan kasih dan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) oleh syarikat tersebut.

“Saya sebenarnya sangat terharu dan tiada kata-kata untuk menakrifkan sumbangan yang dihulurkan oleh Pusat Pakaian Hari-Hari kepada anak-anak anggota polis yang dipilih menerima baucer sekolah ini.

“Bantuan ini sememangnya mengurangkan beban anggota kami dalam menyediakan  kelengkapan persekolahan sebelum sekolah bermula Isnin depan,” katanya di majlis ringkas norma bharu yang dilaksanakan di Taman Seri Serdang hari ini.

Dalam pada itu bercakap kepada pemberita, Pengarah Pusat Pakaian Hari Hari Syed Mohamed Sani Syed Kamarullbahrim berkata, pemilihan IPD Serdang sebagai penerima sumbangan berkenaan kerana menghargai pengorbanan anggota polis dalam membanteras Covid-19.

“Ini merupakan acara tahunan kami yang lazimnya anak-anak yatim menjadi fokus untuk menyampaikan baucer pakaian sekolah.

“Tetapi kali ini buat julung-julung kali kami memilih anak polis sebagai penerima memandangkan polis banyak memainkan peranan penting ketika pandemik Covid-19, selain petugas kesihatan.

“Kami memilih IPD Serdang mewakili Polis Diraja Malaysia kerana lokasinya terletak berhampiran dengan cawangan kami di Taman Seri Serdang yang sudah beroperasi sejak lebih lima tahun lalu,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast