Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar

JOHOR BAHRU – Polis Johor memberi jaminan akan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan penganjuran Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2025 selama tiga hari di bandar raya ini lancar dan selamat.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, kongres berkenaan yang bermula Khamis ini akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor (Persada), Hotel Berjaya Waterfront, Pusat Konvensyen Danga Bay dan pusat beli-belah Toppen.

“Anggota polis akan ditempatkan di empat lokasi penganjuran program sempena kongres berkenaan di sekitar bandar raya ini.

“Kesesakan lalu lintas mungkin akan berlaku memandangkan jangkaan lebih kurang 10,000 orang terdiri daripada delegasi, ahli parti dan tetamu kehormat akan hadir.

“Acara ini akan berlangsung bermula Khamis sehingga Sabtu ini,” katanya ditemui pada Program Derma Darah sempena Peringatan Hari Polis Ke-218 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Menurut beliau, pihaknya tidak menjangkakan sebarang isu besar akan timbul pada penganjuran kongres itu selagi mana semua peraturan dan undang-undang dipatuhi.

“Kita tidak jangkakan ada apa-apa isu berlaku. Kita ada peruntukan undang-undang untuk dipatuhi. Jadi, selagi ikut undang-undang, tidak ada masalah, walau apa sahaja program yang dianjurkan,” katanya.

Kumar turut memaklumkan, tiada sebarang penutupan jalan raya dibuat sepanjang tiga hari berkenaan, namun mengakui kesesakan lalu lintas mungkin akan berlaku.

“Kita tidak tutup sebarang jalan, tetapi akan berlaku sedikit kesesakan di kawasan bandar raya, tetapi kita tidak nampak ada isu besar,” katanya.

Sebelum ini, Kongres Nasional PKR dijadualkan berlangsung pada 14 dan 15 Disember 2024 di Persada.

Bagaimanapun, pada 30 November tahun lalu, PKR dilaporkan memutuskan untuk menangguhkan Kongres Nasional PKR itu susulan bencana banjir di beberapa negeri termasuk Johor, ketika itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast