Petugas kesihatan SelCare melakukan ujian saringan Covid-19 kepada orang awam di Dewan Komuniti Kampung Lindungan, Petaling Jaya. Foto SHAFIY ZUL, 21 FEBRUARI 2021.

MUTAKHIR ini, negara kita dikejutkan dengan gelombang ketiga peningkatan peratusan
jangkitan COVID-19 secara mendadak berikutan daripada peristiwa pilihanraya di Sabah.
Pelbagai pihak mengembeleng tenaga, idea dan harta bagi membendung wabak ini dari
berterusan meningkat. Virus COVID-19 ini menjadi semakin bahaya apabila ia boleh
merebak dengan lebih pantas, menjangkiti secara cepat, bermutasi dan boleh menyebabkan kematian.

Pesakit yang telah disahkan positif boleh menjangkiti sesiapa sahaja apabila
berlaku perhubungan rapat antara satu sama lain. Penyakit ini juga boleh merebak dengan sangat pantas jika berlaku perkumpulan beramai-ramai. Ini menyebabkan rantaian COVID-19 menjadi semakin sukar untuk diputuskan.

Seperti yang diketahui umum, penyakit COVID-19 ini boleh berjangkit melalui titisan
samada secara sentuhan, udara atau secara aerosol. Oleh sebab itu, anggota badan yang paling terdedah untuk dijangkiti virus adalah melalui hidung, mulut atau mata. Hidung dan mulut merupakan sebahagian daripada salur pernafasan bahagian atas manakala trakea dan paru-paru merupakan salur pernafasan bahagian bawah. Di bahagian pangkal hidung terdapat kawasan yang dinamakan nasofarinks, yang menyambungkan bahagian hidung dan tekak.

Manakala, bahagian belakang mulut dinamakan orofarinks, iaitu bahagian tekak yang
menyambungkan bahagian mulut dan salur pernafasan. Ujian saringan COVID-19 yang meluas adalah salah satu cara untuk mematikan rangkaian penyebarannya. Terdapat beberapa jenis ujian yang berada dipasaran untuk mengesahkan seseorang dijangkiti COVID-19. Biasanya sampel swab diambil dari salur pernafasan bahagian atas, iaitu dari nasofarinks dan orofarinks.

Sampel ujian ini juga boleh diambil dari salur nafas bahagian bawah, dubur, air kencing, darah, cecair okular dan cecair serebrospinal. Bagi pengambilan sampel dari salur pernafasan bahagian bawah, biasanya diambil melalui lavaj alveolarbronkus atau kahak yang diperolehi semasa batuk atau yang disedut dari tiub pernafasan bagi pesakit yang menggunakan mesin bantuan pernafasan.

Pengambilan sampel dari salur nafas bahagian atas disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan
Dunia atau World Health Organization (WHO) kerana ianya kurang invasif, senang untuk
diambil dan kurang risiko jangkitan kepada pekerja kesihatan. Bagi sampel yang diambil dari salur pernafasan bahagian bawah, biasanya digunakan apabila pesakit menunjukkan gejala COVID-19 tetapi sampel bahagian salur pernafasan atas menunjukkan keputusan sebaliknya.

Sampel yang diambil dari salur pernafasan bahagian atas hendaklah diambil dalam
tempoh 5-7 hari dari pesakit mula mengalami gejala. Ini kerana dalam tempoh masa tersebut banyak kajian menunjukkan jumlah virus yang tinggi pada salur pernafasan atas manakala jumlah virus akan lebih tinggi pada salur pernafasan bawah dan sampel lain pada minggu kedua.

Pertubuhan Kesihatan Dunia juga mencadangkan untuk mengambil sampel swab di
bahagian nasofarinks kerana pengambilan sampel di bahagian ini mempunyai jumlah virus yang tinggi berbanding orofarinks yang dibuktikan daripada beberapa kajian klinikal. Jumlah virus bermaksud jumlah partikel virus yang terdapat didalam badan seseorang yang dijangkiti.

Apabila seseorang dijangkiti, virus ini akan mula meggandakan jumlah partikelnya
didalam sel badan manusia. Dengan jumlah virus yang tinggi, sampel dari nasofarinks akan menjadi lebih sensitif kepada ujian COVID-19 yang menggunakan reverse transcripatse polymerase chain reaction (RT PCR) untuk mengenalpasti kehadiran SARS-CoV-2. Oleh itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyarankan ujian pengambilan swab melalui kombinasi swab nasofarinks dan orofarinks untuk saringan COVID-19.

Kedua-dua prosedur swab di atas juga mempunyai kesan sampingan. Walau bagaimanapun, kesan sampingan hanya berlaku kepada segolongan kecil populasi dan
kesan yang minor. Semasa swab diambil melalui nasofarinks, pesakit boleh merasa kurang selesa sekiranya pengendali swab memasukkan swab ke tempat yang salah seperti bahagian atas hidung yang berdekatan dengan pangkal tengkorak.

Di samping itu ia juga boleh menyebabkan pendarahan hidung sekiranya alat swab terlanggar dinding mukosa hidung. Alat swab juga boleh terpatah dan tertinggal di dalam hidung sewaktu prosedur dilakukan.

Jika alat swab terpatah dan tertinggal di dalam hidung, pesakit perlu dirujuk ke bahagian
Pakar Hidung Tekak Dan Mulut untuk mengeluarkan bahagian alat swabp yang patah dengan bantuan kamera. Oleh itu, kesan sampingan dapat dikurangkan jika pengendali swab mengetahui struktur anatomi hidung dengan baik. Pengendali swab juga boleh menganggar jarak dari lubang hidung ke nasofarinks dengan perbandingan jarak hidung ke bahagian hadapan telinga yang dinamakan tragus. Bagi swab orofarinks, biasanya pesakit akan merasa tidak selesa dan mempunyai gag reflex atau perasaan seakan mahu muntah apabila alat swab menyentuh dinding belakang orofarinks.

Sebelum melakukan ujian swab, pengendali swab juga hendaklah memastikan
keselematan diri mereka terjaga. Pengendali swab hendaklah memakai pakaian penuh
Personal Protective Equipment (PPE) seperti penutup hidung, penghadang muka, gaun dan sarung tangan bagi memastikan risiko untuk mereka dijangkiti berkurangan.

Oleh itu, diharapkan tatacara pengambilan ujian saringan COVID-19 yang betul dan
saringan secara meluas dapat mengekang penularan pandemik ini. Selain itu, usaha kerajaan dengan memperketatkan kawalan pergerakan diantara daerah dan negeri adalah langkah yang amat baik. Ini sejajar dengan sejarah Islam yang tercatat bagaimana Saidina Umar terpaksa membatalkan perjalanannya ke Syam atas sesuatu urusan kerana Syam sedang dilanda wabak taun.

Setelah perbincangan dibuat, beliau telah mengambil keputusan untuk tidak memasuki
Syam bagi mengelakkan memasuki kawasan yang sedang melanda. Sabda Nabi Muhammad SAW, “Jika kamu mendengar taun di sesuatu tempat, jangan kamu pergi kepadanya. Jika berlaku di sesuatu tempat sedangkan kamu berada di situ, jangan kamu keluar daripadanya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dr Siti Asmat Md Arepen
Pensyarah Perubatan Dan Pakar
Jabatan Otorhinolaryngology and Head & Neck Surgery
Fakulti perubatan Dan Sains Kesihatan
Universiti Sains Islam Malaysia

Dr Dr Nor Eyzawiah Hassan
Pensyarah Perubatan Dan Pakar
Jabatan Otorhinolaryngology and Head & Neck Surgery
Fakulti perubatan Dan Sains Kesihatan
Universiti Sains Islam Malaysia

Dr Aspalilah Alias,
Pensyarah Anatomi
Fakulti Pergigian Universiti Sains Islam Malaysia.