Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menunjukkan Kad Imunisasi Covid-19 dan MySejahtera selepas disuntik vaksin Pfizer BioNTech Covid-19 di Pejabat Kesihatan Putrajaya Presint 11, Putrjaya. Foto AFFAN FAUZI, 24 FEBRUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesahkan bahawa pesakit yang menghidapi HIV juga boleh mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pendekatan itu diambil sekiranya keadaan mereka sihat dan difikirkan boleh menerima vaksin Covid-19.

“Kalau kita tengok pesakit HIV mereka akan juga diberikan vaksin kalau mereka tidak ada masalah dari segi kesihatan.

“Kalau kita tengok bacaan HIV bacaan CD4 lebih 200, jadi tidak ada masalah untuk mereka ambil vaksin.

“Kumpulan pesakit HIV, pesakit kanser juga kalau mereka sihat, mereka akan diberi vaksin,” katanya

Jelas Noor Hisham, sekiranya rawatan mereka sudah didapati stabil, Kementerian Kesihatan akan mengambil pandangan daripada pakar yang merawat pesakit HIV tersebut.

“Sekiranya imuniti mereka kurang kalau diberikan vaksin kadang-kadang mereka risau reaksi mereka yang tidak dapat membentuk antibodi yang mencukupi, itu yang kita risaukan,” katanya. – MalaysiaGazette