Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba (kanan), Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin (kiri) dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah (tengah) hadir bagi pelancaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di Pejabat Kesihatan Daerah Putrajaya. Foto FAREEZ FADZIL, 24 FEBRUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Negara boleh mencapai imuniti kelompok sekiranya 70 peratus penduduk di negara ini telah disuntik dengan vaksin Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat dua cara untuk mencapai imuniti kelompok iaitu dijangkiti dan diberi vaksin.

Sebagai contoh, katanya, Perlis tidak lagi boleh dianggap sebagai negeri mencapai imuniti kelompok walaupun sudah dikategorikan sebagai negeri sifar jangkitan Covid-19.

“Tapi kalau di Perlis kalau tidak dijangkiti 70 hingga 80 peratus rakyat di negeri itu, maka dia tidak dikategorikan sebagai imuniti kelompok.

“Kedua vaksinasi, walaupun tindakan awam kita dapat bendung jangkitan di negeri Perlis tapi mereka tidak mencapai imuniti kelompok lagi.

“Kalau rakyat Perlis nak keluar pergi Kedah dan Selangor mungkin akan terdedah kepda jangkitan. Ini kita kena lihat kepada pergerakan rakyat Perlis, digalakkan walaupun telah mencapai status negeri hijau tapi mereka perlu diberikan vaksin juga,” katanya.

Menurut Noor Hisham, sekiranya negara telah mencapai peringkat imuniti kelompok, maka kebenaran untuk rentas negeri juga akan dilaksanakan semula.

Katanya, ia seperti kelonggaran membabitkan pasport vaksin sama ada boleh rentas negeri ataupun negara malah bukan hanya Malaysia sedang melihatnya tetapi negara lain turut membincangkannya.

Bagaimanapun, kata Noor Hisham ia masih terlalu awal untuk membuat keputusan tersebut.

“Kita juga melihat mereka yang sudah menerima vaksin sama ada perlu dikuarantin ataupun tidak namun KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) memerlukan banyak data untuk dikaji yang memelrukan tempoh enam hingga sembilan bulan.

“Sekiranya Malaysia sudah mencapai imuniti kelompok iaitu 70 hingga 80 peratus jumlah rakyat Malaysia (menerima vaksin), rentas negeri mungkin akan dipertimbangkan namun perbincangan sedang berjalan malah data perlu dikaji,” katanya.

Ditanya mengenai tanda-tanda bahawa Malaysia sudah mencapai imuniti berkelompok, Noor Hisham berkata, pihaknya akan melihat jumlah mereka yang telah diberi vaksin.

“Kita akan tengok pada jumlah itu malah kajian juga akan dijalankan selepas vaksinasi dan kajian lapangan juga akan dilakukan bagi mengkaji antibodi dan keberkesanan program vaksinasi.

“Selain itu, penilaian keberkesana program ini juga sedang dilakukan dan banyak data yang perlu dikumpulkan bagi mendapatkan hasil yang jelas,” katanya lagi. – MalaysiaGazette