Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah menjadi individu kedua di negara ini menerima vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech pada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di Pusat Kesihatan Daerah Putrajaya, Presint 11, di sini, hari ini. FOTO IHSAN KKM

KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menasihatkan agar individu yang telah dijadualkan untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 agar tidak terlepas suntikan mereka.

Katanya, sesiapa sahaja yang telah dijadualkan untuk menerima suntikan vaksin perlu hadir pada tarikh temujanji mereka atau boleh dikenakan tindakan.

“Sebenarnya mereka yang terlepas temujanji boleh ambil tindakan, di negara lain kalau mereka memotong jadual temujanji juga boleh ambil tindakan.

“Jadi kita harapkan rakyat Malaysia boleh patuh dan kita mungkin akan meletakkan individu lain sebagai langkah siap sedia,” katanya pada  siang media libat urus Ketua Pengarah Kesihatan bersama media kali ke 4, secara maya, hari ini.

Noor Hisham berkata demikian menjawab pertanyaan media mengenai adakah tindakan boleh di ambil terhadap mereka yang tidak hadir ke temujanji suntikan vaksin tanpa sebarang alasan kukuh.

Mengulas lanjut, tindakan itu diambil bagi memastikan segala vaksin yang digunakan tidak dibazirkan oleh KKM.

“Kalau hari yang sepatutnya diberi vaksin, tidak hadir juga maka kita akan lihat bagaimana nak gunakan vaksi itu untuk orang lain, kita kena sediakan petugas barisan hadapan dalam senarai menunggu kita.

“Jadi kita harap rakyat negara ini tidak bazirkan vaksin tersebut, kalau tidak hadir dan temujanji sudah diberi tetapi tidak hadir sebab vaksin ini tidak boleh disimpan, hanya dalam tempoh enam jam kita kena beri kepada penerima, kalau tidak datang maka pembaziran vaksin akan berlaku,” katanya lagi. – MalaysiaGazette