Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan hukuman kompaun maksimum RM10,000 kepada individu yang melanggar peraturan atau prosedur operasi standard (SOP) bagi pencegahan dan kawalan pandemik Covid-19 menekan rakyat.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata langkah itu adalah satu bentuk penderaan kepada rakyat yang terhimpit dengan penularan Covid-19.

“Akhirnya (tindakan) ini mendera rakyat kerana orang ternama dan pembesar yang melanggar SOP belum kita dengar dihukum.

“Paling tidak runding dan bayar sedikit, saya dengar ada nelayan yang dipenjara dihukum maksimum.

“Malah ada petani di Sabah yang naik bas didenda RM1,000. Jumlah itu sebulan gaji,” katanya dalam sidang maya Wacana Global Ekonomi Manusiawi, hari ini.

Beliau merujuk kepada langkah kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk melaksanakan kompaun RM10,000 kepada pesalah yang didapati melanggar SOP Covid-19.

Ketika ini, individu dan syarikat yang melakukan kesalahan itu, hanya dikenakan kompaun maksimum RM1,000.

Ditanya mengenai pelaksanaan itu, Anwar berkata; ‘Ia memerlukan suatu reform yang menyeluruh.”

Khamis lalu, individu yang melanggar peraturan SOP ditetapkan bagi pencegahan dan kawalan pandemik Covid-19 boleh dikenakan kompaun sehingga maksimum RM10,000.

Syarikat atau pertubuhan yang melakukan kesalahan sama, pula boleh dikenakan kompaun sehingga maksimum RM50,000.

Kadar kompaun baharu itu akan berkuat kuasa mulai 11 Mac ini, mengikut Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.