Jacob George

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA) hari ini mempersoalkan mengapa ahli-ahli politik diberi keutamaan mendapat vaksin terlebih dahulu sedangkan sebelum ini kerajaan memberi jaminan bahawa golongan yang diutamakan adalah barisan hadapan.

Presidennya, Datuk Jacob George berkata, isu ini ditanya kerana ia menjadi persoalan dalam kalangan khalayak yang mengikuti secara rapat program vaksinasi oleh kerajaan.

Berdasarkan protokol oleh kerajaan sebelum ini, golongan pertama yang perlu menerima vaksin adalah barisan hadapan, diikuti dengan warga emas dan fasa ketiga pula melibatkan orang ramai.

Malah, katanya, terdapat dakwaan yang legar-legar mendakwa ada keluarga ahli politik yang turut melanggar protokol penerima vaksin.

“Memandangkan perkara ini sudah diperkatakan oleh khalayak, maka Pejabat Perdana Menteri (PMO) diminta menjelaskan perkara ini,” katanya yang menghubungi MalaysiaGazette.

Beliau turut mempersoalkan siapakah yang memantau dan melakukan audit penerima-penerima vaksin ini di peringkat negeri.

”Adakah ia dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia atau siapa? Adakah petugas-petugas yang dipertanggungjawab memastikan program vaksinasi ini dilakukan secara telus mengikut protokol yang ditetapkan oleh kerajaan?

“Persoalan-persoalan ini perlu dijawab kerana kita tidak mahu apa yang berlaku di luar negara, terjadi di sini,” tambah Jacob.

Beliau yang memandang berat isu ini menambah, memandangkan lebih banyak vaksin akan dibawa masuk ke dalam negara namun jika protokol tidak dipatuhi, matlamat utama program vaksinasi tidak tercapai.

Sebaliknya, situasi ini menunjukkan ahli-ahli politik menyalahguna kuasa masing-masing dan melanggar protokol program vaksinasi.

“CASSA mahu perkara ini disiasat termasuk di Selangor. Adakah benar dakwaan negeri ini telah menyeleweng proses protokol vaksinasi untuk keluarga-keluarga ahli politik?

“Bagi kami, barisan hadapan sewajarnya didahulukan. Istilah barisan hadapan cukup jelas kerana pekerja pentadbiran hospital swasta bukan frontliners‘,

“Malah, isteri atau keluarga kepada ketua menteri dan menteri besar juga bukan frontliners.

Frontliners adalah mereka yang mengendalikan kes-kes Covid-19 di hospital, oleh itu jangan menafikan hak mereka ini dengan melanggar protokol yang ditetapkan,” tegas beliau. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Bila melihat ahli2 politik dan keluarga mereka divaksinkan maka hilang kepercayaan aku pada sistem pevaksinan kebangsaan… jika mereka boleh jump-q kenapa orang lain tak boleh?… maka huru-hara lah proses ini.

  2. Dalam hal ni, Sultan Selangor paling aku sangat respect..Baginda mahu rakyat didahulukan utk dapat vaksin..ni ahli2 politik ni mmg musibat..dlm perang, dia nak selamatkan nyawa dia dulu..

Comments are closed.