Pengerusi Gerakan Akar Umbi UMNO Malaysia (GAUM), Datuk Zulkarnain Mahdar. foto HAZROL ZAINAL, 27 JULAI 2017.

KUALA LUMPUR – Sepanjang dua tahun mengemudi Sabah bersama Pakatan Harapan (PH) Plus, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal diingatkan tidak melupakan betapa musnahnya ekonomi negeri itu.

Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar mendakwa, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sabah telah menjunam 0.5 peratus di bawah pentadbiran Parti Warisan Sabah (Warisan).

“Shafie Apdal sepatutnya cermin muka sendiri terlebih dahulu sebelum mengata orang lain.

“Kadar KDNK Sabah sebelum Shafie dan Warisan mengambil alih kerajaan negeri berada pada kadar 8.2 peratus dan ironinya dalam tempoh dua tahun sahaja selepas itu kadar KDNK negeri telah menjunam ke paras 0.5 peratus.

“Malah pakar ekonomi menjangkakan untuk mengembalikan kadar KDNK kepada 8.2.peratus seperti sebelum ini akan mengambil masa lima hingga ke enam tahun laman,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Rabu lalu, Mohd Shafie dalam satu kenyataan menyelar Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sambil menyifatkan tiada apa boleh dibanggakan dengan agenda memberi manfaat kepada rakyat selepas setahun gabungan itu ditubuhkan.

Presiden Parti Warisan SABAH mendakwa, PN yang dikatakan sebagai pemerintahan didominasi oleh ‘Melayu Islam’ ternyata gagal apabila kadar pengangguran terus meningkat kepada 772,900 atau 4.8 peratus pada Disember tahun lalu.

Shafie mendakwa, PN yang dianggotai Pas, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan kerjasama UMNO tidak mempunyai rancangan pemulihan ekonomi yang berjaya malah mengabaikan janji untuk memberikan komputer riba berjumlah RM150 juta kepada 150,000 murid seperti dihebahkan semasa pembentangan Belanjawan 2021.

Sepanjang 26 bulan Mohd Shafie menjadi Ketua Menteri Sabah tiada satu pun pelabur luar negara yang berjaya melabur di Sabah walaupun sebelum Covid-19 belum menyerang dunia termasuk Malaysia.

“Malahan yang peliknya Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan Industri turut disandang oleh Timbalan Presiden Parti Warisan Sabah Dorell Leiking juga gagal membawa masuk pelabur asing.

“Rakyat sebelum ini hanya disajikan dengan majlis pengumuman dan majlis menandatangani perjanjian pelaburan namun sehingga kini faktanya tiada satu pun pelabur berjaya dibawa masuk ke Sabah,” katanya.

Sebaliknya Kerajaan PN di bawah GRS hanya kurang 100 hari mentadbir Sabah bersama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah berjaya membawa masuk pelabur dari firma Korea dengan RM2.3 bilion pelaburan.

“Pelaburan itu bagi membuka kilang di Sabah membina kerajang tembaga bagi pengeluar bateri kenderaan elektrik (EV),” katanya.

Katanya lagi, masalah yang dihadapi oleh rakyat di seluruh Malaysia ketika ini juga berpunca daripada gelombang ketiga Covid-19 akibat pelaksanaan Pilihan Raya Negeri, (PRN) Sabah ke-16.

“Harus diingat PRN Sabah berlaku berpunca daripada Shafie Apdal sendiri yang meminta Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan selepas hilang majoriti.

“Kalaulah Shafie Apdal sedar diri termasuk menghormati nasihat Yang di-Pertua Agong, tindakan membubarkan DUN di Sabah pasti tidak akan berlaku dan peningkatan kes Covid-19 sudah tentu mampu dielakkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. RUU355 adalah satu usaha model perundangan terbaik jika dapat diRealisasikan….mengangkat MARTABAT undang Syariah Islam

  2. Umno parti paling x laku kt sabah.. Kahkahkah.. Perinth puluhn tahun sabah tp rakyat ttp miskin

Comments are closed.