Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin bercakap kepada media selepas Majlis Pelancaran Suntikan Vaksin Covid-19 Polis Kuala Lumpur di Klinik Kesihatan Jinjang, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 01 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin akan menerima vaksin Pfizer-BioNTech bersama Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa di Klinik Kesihatan di Titiwangsa esok.

Saiful Azly mengesahkan perkara itu kepada pemberita di pelancaran suntikan vaksin Covid-19 Polis Kontinjen Kuala Lumpur di Klinik Kesihatan Jinjang di sini hari ini.

“Saya akan mengambil vaksin (Pfizer-BioNTech) di Klinik Kesihatan di Titiwangsa pada hari esok. Saya ambil vaksin nanti bersama Menteri (Tan Sri Annuar Musa) esok., tunggulah.. kamu (media) akan dimaklumkan kelak.. kementerian akan keluarkan jemputan,” katanya.

Dalam sidang media pelancaran sama, Saiful Azly memaklumkan seramai 3,135 pegawai dan anggota IPK KL yang merupakan barisan hadapan polis yang bertugas di lapangan termasuk trafik terlibat pengambilan suntikan vaksin mulai hari ini di Klinik Kesihatan Jinjang.

Katanya mereka akan mengambil vaksin dalam dua fasa iaitu fasa pertama sehingga 18 Mac ini manakala fasa kedua bermula 22 Mac hingga 4 April ini untuk dos kedua.

Sementara 253 pegawai dan anggota di IPD Putrajaya pula akan menerima vaksin di Klinik Kesihatan Persint 18 Putrajaya.-MalaysiaGazette