Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dilaksanakan di dua kawasan di Melaka dan di Sarawak ditamatkan pada esok.

Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penamatan PKPD di Penjara Sungai Udang dan Kuarters kakitangan, Melaka Tengah, Melaka ditetapkan pada 2 Mac ini.

Sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan sebanyak 1,701 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 388 kes telah direkodkan.

“KKM mengesahkan baki kes aktif di lokaliti ini menunjukkan trend penurunan serta tiada lagi penularan kes dalam kalangan tahanan dan kakitangan.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di Penjara Sungai Udang dan kuarters kakitangannya di Melaka Tengah pada hari esok seperti yang dijadualkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri menyatakan PKPD turut ditamatkan di Kampung Sungai Maong, Kuching, Sarawak mulai esok.

Tambah beliau, setakat ini sebanyak 427 ujian saringan dilaksanakan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 40 kes telah direkodkan.

Menurutnya, KKM turut mengesahkan kes terakhir yang dilaporkan adalah pada 23 Februari lalu dan tiada lagi sampel saringan yang sedang menunggu keputusan.

Dalam pada satu lagi kawasan turut ditamatkan PKPD adalah di Taman Univista, Kota Samarahan, Sarawak esok seperti yang dijadualkan sebelum ini.

Kata Ismail Sabri, kerajaan sebelum ini telah melaksanakan PKPD di kawasan perumahan itu dan sebanyak 700 saringan telah dilakukan.

“Daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 57 kes telah direkodkan manakala baki kes aktif di lokaliti ini menunjukkan trend penurunan serta kes terakhir yang dilaporkan adalah pada 23 Februari lalu iaitu sebanyak 4 kes positif,” tegasnya.-MalaysiaGazette