Amirudin Shari

SHAH ALAM – Sebanyak enam inisiatif dibawah Pakej Kita Selangor membabitkan perbelanjaan berjumlah RM24.73 juta telah dilaksanakan setakat Isnin lalu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, berdasarkan data yang diakses menerusi Smart Selangor Operations Center (SSOC), kerajaan negeri telah membelanjakan sebanyak 32 peratus daripada RM73.877 juta yang diumumkan sebelum ini.

“Kita telah berbelanja lebih kurang RM24.73 juta dan ini merupakan angka semalam dan hari ini telah jejak RM 25 juta perbelanjaan berdasarkan data SSOC dengan enam program telah selesai,” katanya pada sidang media di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz di sini hari ini.

Terdahulu Amirudin bersama barisan EXCO kerajaan negeri Selangor meninjau dan mendengar taklimat pengoperasian SSOC yang terletak di dewan tersebut.

Menurut Amirudin, program yang telah selesai adalah bantuan makanan kepada petugas barisan hadapan membabitkan 14,162k orang (RM1.6 juta), write-off 162 pinjaman Pelajaran Yayasan Selangor (RM7.7 juta), penangguhan sewa selama tiga bulan untuk peserta Skim Smart Sewa membabitan 450 orang (RM100,000).

Bakul makanan KDEB Waste Management melibatkan 9,958 penerima (RM109,538), bantuan banjir #KitaSelangor di tiga buah negeri (RM2 juta) dan pengecualian dan penangguhan bayaran sewa rumah Projek Perumahan Rakyat dan Council Homes melibatkan 2,365 orang (RM1.7 juta).

Tambah Amirudin, masih terdapat 14 inisiatif yang belum diselesaikan dibawah Pakej Kita Selangor.

Pada 20 Januari lalu, kerajaan negeri Selangor telah mengumumkan Pakej Kita Selangor bagi mengurangkan bebanan rakyat negeri ini dalam menghadapi penularan wabak Covid-19.

Amirudin berkata, Pakej Kita Selangor memberi implikasi kewangan berjumlah RM73.877 juta kepada kerajaan negeri. – MalaysiaGazette