Tiong King Sing

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan membatalkan lesen agensi pelacongan yang didapati terlibat dengan penipuan penyalahgunaan visa pelancong dan umrah bagi tujuan ibadah haji.

Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, siasatan terhadap aduan berkatan mereka yang terkandas di Mekah akibat terpedaya dengan pakej haji yang menggunakan visa pelancong dan Tourism Malaysia juga akan menyiasat isu itu.

“Kita sedang tunggu laporan penuh sebelum hantar pegawai dari ibu pejabat untuk turun padang.

“Kalau ada yang didapati melakukan perkara ini, kita akan batalkan terus lesen pelancongan mereka serta merta,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas laporan kira-kira 300 bakal haji Malaysia yang kini di Mekah, terkandas apabila agensi umrah yang menguruskan perjalanan mereka gagal menunaikan janji untuk mendapatkan kebenaran mengerjakan haji pada musim ini.

Menurut King Sing, menyalahgunakan visa pelancong bukan sahaja melanggar peraturan, tetapi ia juga meletakkan keselamatan dan kepentingan jemaah dalam risiko di Arab Saudi.

“Saya mohon supaya tiada jemaah umrah mengambil kesempatan untuk tinggal lebih masa sehingga masuk ke musim haji.

“Itu merupakan satu kesalahan di bawah peraturan kerajaan Arab Saudi iaitu menunaikan ibadah haji tanpa mempunyai permit sah,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast