KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,745 kes baharu wabak Covid-19 dicatatkan hari ini menjadikan junlah kumulatif kes baharu berjumlah 305,880 kes.
Ia melibatkan 1,037 kes warga tempatan dan 706 kes bukan warganegara.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 640 kes atau 36.7 peratus.
Jelas beliau, daripada jumlah ini, sebanyak 503 kes
atau 78.6 peratus adalah daripada kluster-kluster dan saringan
kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan.
Menurutnya, ini diikuti oleh Johor sebanyak 376 kes atau 21.5 peratus dan Sarawak sebanyak 139 kes atau 8.0 peratus.
“Sebanyak 47 kes atau 2.7 peratus yang dilaporkan pula adalah
berkaitan kluster-kluster di penjara yang membabitkan Kluster
Telok Mas sebanyak 20 kes, Kluster Tembok Pengkalan Chepa (13 kes), Kluster Damai Pelangi (13 kes), dan Kluster Penjara Jalan
Sungai Jelok adalah satu kes.
“Kes-kes kematian pada hari ini melibatkan dua kes di
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan masing-masing satu
kes di Selangor, Sarawak, Sabah, Johor, dan Kelantan.
“Sebanyak enam kes melibatkan warganegara dan satu kes bukan warganegara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dr Noor Hisham menambah, sebanyak 2,276 kes sembuh dilaporkan dengan 280,707 kes kumulatif dan kes aktif adalah 24,025 kes.
“Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 195 kes dan kes memerlukan bantuan pernafasan adalah 95 kes,” katanya. – MalaysiaGazette















