Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas menghadiri perbicaraan kes berhubung pertuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan Yayasan Akalbudi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 05 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Dakwaan siasatan kes rasuah membabitkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi dijalankan dalam 11 hari adalah tidak berasas.

Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Zamri Abdul Rashid berkata, pihaknya tidak pernah bertindak berat sebelah ketika menyiasat kes rasuah berjumlah RM13.25 juta yang hadapi Ahmad Zahid.

Kata saksi ke-12 itu, suruhanjaya tersebut mula menyiasat kes tersebut sejak Jun 2018.

“Sebagai permulaan kita kumpul maklumat dari syarikat guaman Lewis and Co bagi mendapatkan semua dokumen relevan berhubung dakwaan penyewelengan ini.

“Tidak betul dengan dakwaan kononnya kami telah selesai menyiasat dalam tempoh 11 hari sahaja,” katanya ketika pemeriksaan balas di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah hari ini.

Mohd Zamri menjawab dakwaan yang ditimbulkan peguam bela tertuduh, Hamidi Mohd. Noh.

Zahid Hamidi berdepan 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah (CBT) melibatkan dana Yayasan Akalbudi, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.

Dalam pertuduhan ke-11, 12, dan 13, beliau dituduh menerima suapan berjumlah RM13.25 juta daripada Mastoro Kenny antara 2017 hingga 2018 sebagai dorongan untuk membantu syarikat itu mendapatkan projek-projek MyEG di bawah kendalian Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Ahmad Zahid merupakan bekas Menteri Dalam Negeri.

Suapan itu didakwa dibuat menerusi cek-cek milik Mastoro Kenny (13 cek), Jogabonito (satu cek), dan Berani & Jujur (10 cek).

Dalam pada itu, Mohd Zamri turut mendedahkan tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services (Mastoro Kenny), Jogabonito Jewellery & Diamonds (Jogabonito) dan Berani & Jujur Trading (Berani & Jujur) tidak menjalankan apa-apa aktiviti pernigaan seperti didakwa.

Sebaliknya kata saksi itu, ketika SPRM menyerbu syarikat-syarikat terbabit ia lenggang tanpa aktiviti perniagaan, malah tidak ada pekerja.

“Kami mendapati syarikat Berani & Jujur Tidak ada syarikat, pekerja malah ianya berdaftar di satu alamat apartmen.

“Kedudukan kewangan pula, keluar masuk akaun terlalu aktif dengan jumlah yang besar, jika rujuk SSM, Berani & Jujur terlibat dalam perniagaan pertanian.

“Ini juga berdasarkan keterangan saksi bahawa ada perniagaan kain tetapi semakan kewangan mendapati pengeluaran duit keluar-masuk terlalu aktif.

“Tapi saya siasat tidak ada pula perniagaan kain. Penggeledahan di premis pun tak ada perniagaan di premis tersebut.

“Mastoro Kenny juga sama, kerana menggunakan alamat apartmen yang sama dengan Berani & Jujur tetapi tiada apa-apa.

“Begitu juga syarikat Jogabonito tidak ada apa-apa aktiviti,” katanya. – MalaysiaGazette