Zaquan Adha. Foto Kaki Jersi Dot Com.

KUALA LUMPUR – Ketua pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC), Zaquan Adha Abdul Radzak, berazam untuk membangkitkan semula keghairahan penyokong Hobin Jang Hobin musim ini dengan mahu bermula cemerlang apabila bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) II, malam ini di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Melihat kepada sambutan baik setakat ini diberikan sebahagian besar penyokong Negeri Sembilan, dia berharap perkara itu dapat memberikan semangat tambahan kepada seluruh pemain dalam memberikan cabaran kepada kejuaraan Liga Premier, musim ini.

“Secara peribadi, sejak saya balik semula ke sini, saya dapati ada perkembangan positif yang begitu ketara dalam kalangan penyokong kerana selama ini macam suam-suam sahaja sokongan mereka.

“Jadi, saya harap benda yang baik ini berterusan dan saya bersama pasukan harap dapat mencipta kejayaan demi Negeri Sembilan serta penyokong.

“Perlawanan pertama selalu menjadi detik yang penting kepada mana-mana pasukan kerana secara tidak langsung akan berikan keyakinan bagi harungi musim yang panjang ini.

“Namun, kami sedar bertemu JDT II, bukan satu lawan yang mudah kerana mereka punyai barisan import yang berkualiti terutama ketua pasukan (Nicolas Fernandez) selain pemain-pemain muda berbakat, ” katanya kepada Liga Bola Sepak Malaysia di sini.

Zaquan dalam masa sama tidak mahu keputusan cemerlang yang dicatatkan oleh NSFC pada tiga perlawanan persahabatan bertemu pasukan dari Liga Super dijadikan kayu ukur.

Tambahnya, tiga kemenangan yang dicatat itu adalah sesuatu yang positif dalam menyuntik semangat kepada pemain namun berharap semua pemain tidak leka kerana ujian sebenar akan bermula pada Sabtu ini.

“Memang satu keputusan membanggakan buat Negeri Sembilan dalam aksi persahabatan kita lalui tetapi itu hanya sekadar perlawanan persahabatan.

“Apa yang kita harapkan rentak kemenangan dalam perlawanan-perlawanan terbabit mampu dibawa ke dalam aksi sulung liga dengan JDT II, nanti, ” katanya.

Selain pertemuan NSFC dan JDT II, tiga lagi perlawanan turut berlangsung pada Sabtu ialah Kelantan FC dan Perak FC II di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu (4.45 petang), Terengganu FC II berdepan pendatang baharu Liga Premier, Skuad Projek FAM-MSN di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu (9.00 malam) dan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, PDRM FC akan menjadi tuan rumah kepada Selangor 2 (9.00 malam).

Satu-satunya aksi pada Ahad membabitkan Sarawak United FC yang menentang Kelantan United di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 9.00 malam esok. – MalaysiaGazette