Foto Facebook Selangor FC.

KUALA LUMPUR – Pertembungan Selangor FC dan Sri Pahang FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam ini antara aksi yang menarik perhatian ramai peminat pada saingan perlawanan pertama Liga Super.

Dibimbing oleh kedua-dua jurulatih asing yang berasal dari Jerman, Karsten Neitzel (Selangor) dan Thomas Dooley (Sri Pahang) cukup menarik untuk melihat kualiti teknikal yang mampu diterjemahkan Neitzel serta Dooley kepada para pemain sejak bersama pasukan.

Menurut Neitzel, pasukannya sudah bersedia sepenuhnya bagi aksi sulung Liga Super dengan menyifatkan persaingan merebut tempat dalam kesebelasan utama cukup sengit malah mengakui bukan mudah memilih yang terbaik.

“Saya rasa amat gembira kerana kami mempunyai lebih sebelas pemain yang bersedia mendapatkan tempat dalam skuad utama dan situasi ini sesuatu yang baik buat pasukan.

“Dalam tempoh beberapa perlawanan akan datang, saya amat memerlukan semua pemain untuk bersedia kerana kita akan lalui satu musim yang panjang.

“Berdepan Pahang, kami telah melakukan banyak kerja rumah dan tidak boleh memandang rendah akan kemampuan mereka yang punyai kualiti tersendiri dalam kalangan pemain yang mereka ada.

“Adanya Mamadou (Wague) serta (Herold) Goulon, Pahang sememangnya cukup kuat pada aspek fizikal di bahagian pertahanan selain Lee Tuck dan Nor Azam, dua pemain yang mampu menjadi perancang utama.

“Selain itu, Pedro (Henrique), Baqiuddin (Shamsudin) dan Nur Izzat punyai kelajuan yang membahayakan di bahagian serangan, jadi kami perlu sentiasa disiplin dalam mengawal mereka apa jua situasi jika mahu menang dalam perlawanan itu nanti,” katanya kepada Liga Bola Sepak Malaysia di sini.

Sementara rakan sejawatnya dari Sri Pahang, Dooley berdepan kerisauan dengan krisis kecederaan yang sedang melanda dalam kalangan pemain utama yang meletakkan pasukannya sukar berikan cabaran bermakna kepada Selangor.

Antara pemain terbabit ialah ketua pasukan, Lee Tuck, serta tiga pemain import lain iaitu Goulon, Wague dan Pedro serta bekas pemain baharu Perak FC, Hafiz Ramdan.

“Buat masa ini saya belum pasti dapat menggunakan pemain dalam kesebelasan utama seperti Lee, Wague dan Goulon manakala Pedro mendapat kekejangan otot, begitu juga Hafiz.

“Situasi ini amat membimbangkan saya bagi berdepan Selangor yang dilihat sememangnya antara pasukan pilihan musim ini, malah import yang mereka ada cukup berpengalaman.

“Oliver Buff antara perancang terbaik yang saya jangkakan dalam saingan Liga Malaysia, begitu juga dengan Manuel Konrad sementara Tim Heubach pernah bermain di Bundesliga selain beberapa pemakn kebangsaan yang jadi aset penting buat pasukan, “ katanya.

Selain aksi membabitkan Selangor dan Sri Pahang, pertembungan dua pendatang baharu Liga Super, Penang FC dan Kuala Lumpur City FC di Stadium Bandaraya juga dijangka mendebarkan berdasarkan kualiti pemain terbaharu dimiliki kedua-dua pasukan.

UiTM FC pula akan melayani Terengganu FC di Stadium UiTM, Shah Alam sementara Melaka United menentang Sabah FC di Stadium Hang Jebat.

Satu-satunya perlawanan yang berlangsung pada Ahad ialah pertemuan membabitkan Perak FC dan PJ City FC di Stadium Perak, Ipoh. – MalaysiaGazette