Natrah Ismail

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memohon Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail membuat aduan kepada suruhanjaya itu berikutan dakwaan  terdapat individu menyogoknya seperti yang tular di laman media sosial.

Menurut SPRM, aduan tersebut adalah selaras dengan Seksyen 25 Akta SPRM 2009 mengenai kewajipan melapor transaksi penyogokan.

“SPRM bersedia untuk menjalankan siasatan terhadap aduan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini Natrah mendakwa beliau dikunjungi dua individu termasuk seorang bergelar Datuk Seri yang menawarkan ganjaran sekiranya beliau memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dakwa Natrah, dalam pertemuan pada Rabu lalu, dua individu terbabit menyatakan keinginan untuk membantu beliau meneruskan usaha sebagai seorang ahli Parlimen selepas melakukan kerja dengan baik di Sekijang.

Natrah berkata, beliau telah melaporkan perkara tersebut kepada pucuk pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Menurut SPRM, selain Natrah, mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung dakwaan terdapat individu menyogok Ahli Parlimen perlu membuat aduan sekiranya perkara itu benar-benar dianggap sebagai perlakuan rasuah. – MalaysiaGazette