IPOH – Tukar ekzos ‘standard’ sebelum tuntut semula motosikal yang disita.

Itu tindakan dikenakan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak terhadap pemilik motosikal yang mengubah suai ekzos hingga mengeluarkan bunyi bising melebihi kadar ditetapkan.

Tindakan itu dibuat menerusi Ops Khas Kesalahan Bunyi Bising yang diketuai Pegawai Turus Penguatkuasaan JSPT Perak, Asisten Superintendan Mohd Ariffridzuan Ezahar dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan serta Jabatan Alam Sekitar sejak 1 Mac lalu.

Pihak JSPT serta JAS melakukan pemeriksaan ke atas motosikal yang mengubah suai ekzos sehingga mengeluarkan bunyi bising.

Ketua JSPT Perak, Superintendan Zakaria Abd Rahman berkata, dalam tempoh lima hari pelaksanaan ops berkenaan sebanyak 19 motosikal disita dan 679 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalulintas.

Jelas beliau, ops khas berkenaan diadakan di 21 lokasi yang telah dikenalpasti di seluruh negeri terbabit bagi mengesan kesalahan ekzos bising.

Antara lokasinya termasuk Jalan Batu Sinar, Jalan Pekan Lumut, Jalan Sultan Nazrin Shah, Jalan Taiping serta Jalan Ipoh-Butterworth.

Antara motosikal yang disita dalam operasi khas sekitar negeri Perak.

“Berdasarkan operasi terbabit, kita dapati kebanyakan individu yang dikesan melakukan kesalahan ini terdiri daripada golongan berusia 16 hingga 40 tahun.

“Selain itu, kita juga menetapkan setiap pemilik kenderaan yang disita atas kesalahan ubah suai ekzos perlu memasang semula ekzos asal jika mahu menuntut semula kenderaan tersebut,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Zakaria, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemilik motosikal yang mengubah suai ekzos bising.

Antara ekzos bising yang digunakan pemilik motosikal hingga mengganggu masyarakat setempat.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang ingkar kerana perbuatan mereka menimbulkan rasa tidak selesa pada masyarakat,” ujar beliau.

Operasi Khas Kesalahan Bunyi Bising dilakukan serentak seluruh negeri bermula 1 sehingga 14 Mac ini. – MalaysiaGazette