Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (kiri) menyerahkan watikah pelantikan kepada YDP Negeri Melaka Tun Seri Setia (Dr.) Mohd Ali Mohd Rustam pada upacara pemasyhuran Canselor UTeM yang berlangsung di Dewan Seri Utama, Pejabat Tuan Yang Terutama YDP Negeri Melaka, Ayer Keroh, semalam.

MELAKA – Yang Dipertua (YDP) Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam telah dimasyhurkan sebagai Canselor ketiga Universiti Teknikal Malaysia (UTeM)

Pelantikan Mohd Ali, 72, mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah berkuatkuasa selama 4 tahun mulai 15 Ogos 2020 hingga 3 Jun 2024.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad mewakili Tuanku Abdullah menyerahkan watikah pelantikan pada upacara pemasyhuran yang berlangsung di Dewan Seri Utama, Pejabat YDP Negeri Melaka, Ayer Keroh, semalam.

Mohd Ali menggantikan Canselor terdahulu yang juga bekas YDP Negeri Melaka keenam, Tun Mohd Khalil Yaakob.

Turut hadir pada upacara pemasyhuran itu ialah isteri Mohd Ali, Toh Puan Datuk Wira (Dr.) Hajah Asmah Abdul Rahman; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama (Dr.) Sulaiman Md Ali, Pro Canselor UTeM, Tan Sri Halim Saad dan Datuk Dr Sabirin Ja’afar, Pengerusi Lembaga Pengarah UTeM, Tan Sri Dr Ir Ahmad Tajuddin Ali serta Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim.

Mohd Ali dalam ucapannya berkata, UTeM merupakan universiti teknikal pertama yang diwujudkan di Malaysia pada 1 Disember 2000 untuk memartabatkan ilmu melalui pendidikan, penyelidikan dan kesarjanaan teknikal yang inovatif dan kreatif.

”Sehubungan dengan ini, UTeM perlu berada dalam arus perdana pendidikan tinggi negara sebagai daya penggerak utama membentuk hala tuju baharu masyarakat Malaysia ke arah transformasi ekonomi dan sosial khususnya dalam era ledakan
Industri 4.0 dan ekonomi digital.

”Saya juga melihat UTeM sentiasa komited membantu negara dan negeri Melaka dalam menyediakan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi berpacukan industri.

”Pelaksanaan peta strategi pemerkasaan TVET dijangka mampu menghasilkan graduan TVET yang seimbang, holistik dan berciri keusahawanan untuk membangunkan negeri dan negara amnya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast