KUALA LUMPUR – Sebuah dari dua bot nelayan asing Vietnam menggunakan nombor pendaftaran tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Pahang awal pagi semalam.
Menurut Pengarah Maritim Pahang, Laksamana Pertama Maritim Datuk Amran Daud, ketika rondaan Op Kuda Laut di perairan negeri itu, KM Satria telah mengesan dua bot mencurigakan sedang menjalankan aktiviti penangkapan ikan dan disyaki bot nelayan asing.
Katanya, bot asing itu cuba memadamkan lampu dan melarikan diri sebaik menyedari KM Satria menghampiri mereka.
“Namun, kita berjaya memintas sebuah bot yang mempamerkan nombor pendaftaran tempatan PAF 4286 pada kedudukan kira- kira 40 batu nautika di timur laut Kuala Rompin, awal pagi semalam.
“Dalam pemeriksaan, tekong telah menunjukkan dokumen lesen vesel dan peralatan menangkap ikan, namun pasukan geledah Maritim Malaysia mendapati dokumen tersebut meragukan berikutan nombor siri enjin bot berbeza dengan yang tercatat dalam lesen.
“Pemeriksaan ke atas 25 kru termasuk tekong mendapati tiada sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan semuanya disyaki warga Vietnam berumur antara 19 hingga 59 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Amran berkata, hasil pemeriksaan terhadap bot itu menemui peralatan menangkap ikan serta hasil laut dengan keseluruhan nilai dianggarkan RM1.5 juta.
Kata beliau, bot, peralatan menangkap ikan, hasil tangkapan serta seramai 25 kru ditahan dan diiring masuk ke Zon Maritim Kemaman, Terengganu untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan selanjutnya.
Kes akan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 yang membawa hukuman denda sehingga RM6 juta ke atas tekong dan RM600,000 ke atas setiap kru kerana tidak memiliki sebarang permit untuk beroperasi di perairan di Malaysia.
Kes juga akan disabitkan dengan Akta Imigresen 1959/1963 Seksyen 6(1)(c) yang membawa denda RM10,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya serta boleh dikenakan sebatan tidak lebih enam sebatan kerana tidak mempunyai pengenalan diri yang sah.
Menurut beliau lagi, menggunakan nombor pendaftaran palsu atau bot klon menjadi modus operandi nelayan Vietnam untuk mengaburi pihak berkuasa.
Namun sifat dan struktur fizikal bot nelayan Vietnam berbeza dengan bot nelayan tempatan serta tindakan yang mencurigakan membolehkan penguat kuasa mengesan atau menghidu aktiviti mereka di perairan negara
Beliau menyeru masyarakat setempat agar menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau kejadian kecemasan ke Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-571 7345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999. – MalaysiaGazette