Gambar Ihsan PGA

KUALA LUMPUR – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara menumpaskan sindiket penyeludupan produk kosmetik yang dikesan di pengkalan Haram Mok Yah, Bukit Lata, Pasir Mas, Kelantan, semalam.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, rampasan jam 3 pagi itu dilakukan selepas ternampak dua kotak di kawasan pengkalan haram semasa membuat rondaan Op Taring Wawasan.

Pemeriksaan ke atas kotak berkenaan mendedahkan ia mengandungi pelbagai produk kosmetik yang dipercayai diseludup dari Thailand tanpa sebarang dokumen sah.

“Kesemua produk yang dirampas diseludup untuk dipasarkan di pasaran tempatan, dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan tersebut mencecah RM14,400,” katanya.

Menurut beliau, kes disiasat di bawah Sek 7(1)(a) Peraturan Peraturan Dadah Dan Kosmetik 1984 dan hasil rampasan dibawa ke Komtak Jeram Perdah untuk tindakan selanjutnya.

“PGA terus memperhebatkan usaha dalam membanteras kegiatan penyeludupan di sempadan negara bagi memastikan aktiviti haram itu dapat dikawal dan tidak berleluasa,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast