Temubual khas bersama Pensyarah Kanan Universiti Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia (Psitra), UKM, Prof Madya Dr Mohd Suhaimi Mohamad berhubung kesan depresi terhadap rakyat ekoran penularan Covid-19 di UKM Bangi, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 12 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Depresi atau kemurungan adalah satu perasaan sedih dan gelisah melampau yang dihadapi seseorang.

Pensyarah Kanan Universiti, Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia (Psitra), Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Suhaimi Mohamad menyimpulkan depresi secara ringkasnya adalah perasaan yang membuatkan seseorang itu ‘jatuh ke dalam gaung yang gelap dan tidak nampak jalan keluar.’

Jelasnya, semua itu berkait rapat dengan tahap mental seseorang.

“Pesakit terperangkap dalam emosi dan pemikiran mereka. Ia sama macam kalau orang yang sihat fizikal dan tiba-tiba jatuh sakit, dia akan jadi lemah.

“Perkara ini berlaku dalam mental seseorang, tiba-tiba selama ini mereka boleh berfikir dan tiba-tiba tidak boleh lagi berfikir dan semua sudah tertutup dan nampak bayang-bayang sahaja.

“Dia (perasaan) tidak jelas, bila hilang hala tuju untuk dia bangkit dan tak tahu macam mana nak bangun jadi dia sebenarnya dalam mod yang murung,” katanya mengulas laporan khas MalaysiaGazette berjudul ‘Depresi Covid-19 buat saya nak bunuh diri’ hari ini.

Dalam laporan itu, Rizal yang diberhentikan kerja daripada syarikat minyak dan gas mendedahkan dirinya pernha nekad untuk membunuh diri ekoran depresi yang amat kuat disebakan pandemik Covid-19.

Mengulas mengenainya, Dr Mohd Suhaimi berkata, depresi yang dihadapi Rizal sudah sampai kemuncak sehingga beliau terfikir mahu membunuh diri.

Jelas beliau, depresi mempunyai pebagai fasa dan fasa yang dihadapi Rizal adalah merupakan fasa terakhir dalam depresi.

“Bila kemurungan berlarutan dalam tempoh yang lama lebih enam bulan dia masih ada perasaan murung itu tidak mendapat rawatan dan boleh masuk kepada fasa yang dipanggil major depression.

Major depression ini akan berlarutan sehingga dua tahun dan bila sampai tempoh itu dia akan jadi satu dysthymic disorder (gangguan distimik).

“Ia bermakna dia semakin menurun dan menurun. Sudahkan dia jatuh gaung, dia jatuh dan jatuh lagi sampailah tidak nampak jalan keluar. Cahaya pun tidak nampak.

“Jadi benda ini yang sebenarnya kali kita nak faham itu kemurungan,” jelas Dr Mohd Suhaimi.

Unuk rekod, distimia atau gangguan distimik disifatkan sebagai satu keadaan kronik yang didatangkan dengan gejala kemurungan yang berlaku hampir sepanjang hari sekurang-kurangnya selama dua tahun.

Ditanya sama ada depresi boleh menyebabkan seseorang itu bertindak membunuh diri, Dr Mohd Suhaimi menegaskan, kemungkinan itu tetap ada.

Jelasnya, pada tahap di mana pesakit telah hilang harapan untuk meneruskan hidup, ia merupakan fasa-fasa kepada seseorang itu bertindak mahu membunuh diri sebagai jalan penyelesaian.

“Bagi orang yang mengalami kemurungan yang melampau sehingga major depression itu memang boleh ada pemikiran untuk bunuh diri sebab ada tiga faktor.

“Satu, hopeless (hilang harapan) rasa sudah tidak ada apa lagi harapan untuk dia. Kedua helpless pada mulanya dia tidak ada dapat apa2 bantuan atau selesai isu dia. Dia rasa nothing can be done.

Ketiga, death mind iaitu pemikiran dia tiba-tiba mati. Tidak ada akal dan tidak nampak solutions so dia jadi combination tiga aspek ini dia boleh membawa kepada tingkah laku dan juga pemikiran untuk bunuh diri.

“Ia tidak akan bermula dengan bunuh tapi selalunya akan fikir  untuk self harm dahulu,” katanya.

Memasuki fasa itu, kata Dr Mohd Suhaimi, ada pesakit  bertindak meminum klorox, cecair pembasmi kuman serta menoreh lengan dengan pisau.

Oleh yang demikian, sokongan dan berkongsi masalah kepada orang yang terdekat seperti pasangan masing-masing mahu pun ibu-bapa amat penting.

Dr Mohd Suhaimi berkata, pencegahan daripada awal mampu untuk memulihkan depresi seseorang dan mengelakkan perbuatan bunuh diri daripada berlaku.

“Sebenarnya daripada peringkat awal ahli keluarga perlu mengambil berat, tapi katakan kita sudah tidak mampu untuk hadapi seorang kita rasa macam sudah tidak ada sesiapa. Saya rasa permainan ego itulah berfungsi kita kena rendahkan ego dengan naikkan kita punya super ego.

“Nilai yang mengawal kenapa kita mesti balik kepada keluarga dan kita balik kepada tuhannsebab dua inilah yang sebenarnya akan kekal dengan kita,” tegas beliau.

Selain masyarakat, kerajaan juga katanya perlu turut  membantu dengan mewujudkan lebih banyak jaringan keselamatan sosial.

Malah akses kepada kesihatan juga perlu dipermudahkan dalam usaha kerajaan untuk mengatasi faktor kemurungan diatasi lebih-lebih lagi ketika penularan pandemik Covid-19. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Depresi akibat Covid-19 buat saya mahu bunuh diri – Rizal

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast