Sukarelawan Kembara Kitchen, Rizal, 42 ketika ditemuramah oleh wartawan di Kembara Kitchen, Bukit Rimau, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 07 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Tiada siapa sangka kerjaya yang stabil dan memberikan pendapatan puluhan ribu ringgit sebulan boleh hilang sekelip mata dek kerana pandemik Covid-19.

Salah seorang daripada individu yang terkesan yang mahu dikenali sebagai Rizal tidak pernah menyangka kerjayanya di sebuah syarikat minyak dan gas terkemuka juga boleh terkesan.

Gara-gara Covid-19 beliau hilang pekerjaan itu pada Mac tahun lalu.

Lebih daripada itu, lelaki berusia 42 tahun itu mengakui berdepan dengan tekanan depresi atau kemurungan kuat sehingga beliau pernah terlintas untuk membunuh diri.

Sukarelawan Kembara Kitchen, Rizal, 42 ketika ditemuramah oleh wartawan di Kembara Kitchen, Bukit Rimau, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 07 MAC 2021.

Sekali imbas daripada raut wajahnya, tidak ada petunjuk bapa kepada anak dua itu pernah menghadapi tekanan perasaan.

Sehinggalah beliau secara terbuka untuk menceritakan masalah  yang pernah dihadapinya ketika pandemik Covid-19 mengganas di negara ini sejak tahun lalu.

“Sejujurnya, saya rasa cukup tertekan sampaikan saya boleh mengasingkan diri dan tidak berhubung dengan orang lain, hanya duduk di rumah sahaja.

“Pernah terfikir nak bunuh diri, bila tengok muka anak bini, bila kita buat benda-benda ini pun, at the end fikir apa akan jadi dekat anak bini kita,” katanya dengan mata berkaca.

Tegas Rizal, depresi adalah sesuatu yang tidak boleh diambil mudah, ia perlu dirawat segera dan sokongan daripada ahli-ahli keluarga dan pasangan amat penting.

Pada mulanya, beliau tidak menyedari perubahan kepada dirinya sehingga mengambil sikap menyendiri daripada segala hal.

Sukarelawan Kembara Kitchen, Rizal, 42 ketika ditemuramah oleh wartawan di Kembara Kitchen, Bukit Rimau, Shah Alam baru-baru ini. Foto MOHD ADZLAN.

Perasaan mudah naik marah, kerisauan melampau dan kegelisahan semuanya pernah dilalui beliau kepada fasa depresi.

Depression is real, mungkin ada orang boleh gelak ketawa tapi dalaman hanya dia dengan tuhan.

“Caranya kita kena cari rakan, sahabat atau benda yang boleh untuk membuatkan kita tidak memikirkan ke arah yang lebih buruk.

“Benda-benda yang buruk itu sebenarnya beri kesan kepada orang yang ada di sekeliling kita, jangan berfikiran pendek,” kata Rizal.

Berpandukan kepada kata-kata yang diluahkan Rizal, beliau sememangnya mengalami depresi yang amat kuat.

Bekas juruterbang, Kapten Rozaime Abdul Rahman, 61, ketika ditemuramah di Kapten Corner, Subang Jaya, Selangor baru-baru ini. Foto MOHD ADZLAN.

Rasa sama turut dikongsikan seorang bekas juruterbang, Kapten Rozaime Abdul Rahman akibat Covid-19.

Menurutnya, jika dahulu sering terbang di langit biru, depresi mula dirasakan apabila tidak lagi mengenakan pakaian seragam juruterbang.

Katanya depresi yang dilalui beliau bukan calang-calang.

“Orang lain tidak boleh tolong, cuma Allah sahaja yang boleh tolong. Itu yang saya dapat menenangkan keadaan dengan kembali kepada fitrah sebagai seorang muslim dan al-Quran,” katanya.

Bekas juruterbang, Kapten Rozaime Abdul Rahman, 61, meluangkan masa bersama keluarganya di Kapten Corner, Subang Jaya, Selangor baru-baru ini. Foto MOHD ADZLAN.

Mengambil iktibar daripada teman-teman bukan Islamnya yang mengambil langkah singat dengan membunuh diri, Rozaime berkata, ia bukan satu pilihan buat beliau.

“Kalau ikutkan hati macam di Korea ramai kawan saya yang terjun kerana berpandangan cetek tiba rasa sudah tidak ada kerja dan hutang keliling pinggang, jadi untuk juruterbang walaupun gaji besar tapi perbelanjaan mereka banyak.

“Bila orang tidak ada kepercayaan, lain tidak ada bunuh diri,” katanya bapa kepada dua anak berusia 61 tahun itu.

Berdasarkan rekod tahun lalu, sepanjang tempoh dari Januari hingga Jun sebanyak 465 kes cubaan bunuh diri dirujuk kepada Kementerian Kesihatan Malaysia berbanding sebanyak 675 kes dalam tempoh sama bagi tahun 2019.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia juga melaporkan lebih 800,000 orang membunuh diri setiap tahun dengan purata satu kejadian bunuh diri setiap 40 saat melibatkan pelbagai motif. – MalaysiaGazette