Poster palsu yang tersebar di laman sosial mendakwa Pas menyeru supaya diadakan solat hajat terhadap Paul Yong.

KUALA LUMPUR – Dakwaan kononnya Pas Perak mengarahkan ahli-ahlinya mengadakan solat hajat agar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong dibebaskan daripada kes rogol tidak benar.

Ketua Penerangannya, Hafez Sabri menyatakan apa yang tular di laman sosial adalah tidak berasas.

Menurutnya, tidak ada sebarang arahan kepada ahli parti itu untuk berbuat demikian malah pihaknya mengecam tindakan menggunakan infografik Harakatdaily yang dilihat mengelirukan orang ramai.

“Pendirian Pas Perak adalah jelas tidak mencampuri sebarang urusan mahkamah. Bagi kami, mahkamah berhak untuk mengadili mana-mana individu secara bebas dan adil tanpa campur tangan mana-mana pihak.

“Pas Perak akan membuat laporan polis supaya fitnah yang disebarkan oleh Harakatdaily ini diambil tindakan oleh pihak berwajib bagi menutup pintu fitnah yang sedang dimainkan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Terdahulu, tular di laman sosial dakwaan mengatakan Pas Perak mengarahkan semua ahli parti melakukan solat hajat supaya Paul Yong dibebaskan daripada tuduhan merogol pembantu rumahnya, kira-kira dua tahun lalu.

Ia mungkin dikaitkan dengan pengumuman Paul yang keluar dari DAP dan menyertai Bersatu baru-baru ini dan Pas merupakan rakan Bersatu di dalam Perikatan Nasional yang menjadi kerajaan.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak menetapkan 30 Mac hingga 9 April ini untuk memulakan perbicaraan kes rogol pembantu rumah warga Indonesia membabitkan Paul.

Hakim Datuk Hashim Hamzah menetapkan tarikh perbicaraan selama sembilan hari itu ketika kes berkenaan disebut semula di hadapannya pada 21 Disember tahun lepas.

Pada 23 Ogos 2019, Choo Kiong yang juga bekas Pengerusi Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri didakwa merogol seorang wanita di dalam sebuah bilik di tingkat atas sebuah rumah di Meru Desa Park, Bandar Meru Raya antara pukul 8.15 hingga 9.15 malam, 7 Julai 2019.

Pertuduhan terhadap beliau dilakukan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette