Nafuzi Zain.

KUALA LUMPUR – Terengganu FC (TFC) dan Selangor FC menjadi tumpuan malam ini selepas menyaksikan kedua-dua pasukan mendapat tonik terbaik apabila berjaya mengumpul tiga mata dalam aksi pertama minggu lalu.

Dua jaringan oleh pemain import baharu Selangor FC, Oliver Buff dan satu gol daripada Shahrel Fikri dalam penampilan pertama mereka berdepan Sri Pahang FC mencuri perhatian penyokong The Red Giants sekaligus meletakkan skuad ini antara pasukan yang mampu mencipta impak besar dalam aksi seterusnya nanti.

Pengendali Terengganu FC, Nafuzi Zain bagaimanapun menganggap bukan hanya dua pemain itu sahaja yang perlu diawasi, tetapi kualiti pemain-pemain lain seperti Ifedayo Omosuyi dan Wan Zack Haikal Wan Nor juga tidak boleh dipandang mudah.

“Misi utama kami di sini tetap untuk mengutip tiga mata penuh berdepan Selangor FC selepas kita bermula dengan cukup baik sewaktu menentang UiTM FC.

“Kalau nak ikutkan, bukan Oliver dan Shahrel sahaja, tetapi pemain-pemain mereka kebanyakannya memang berkualiti dan cukup berbahaya di atas padang, jadi kami kena bersedia dengan segala strategi.

“Sekarang, ada pemain yang masih cedera seperti Petrus Shitembi dan saya akan buat beberapa perubahan yang sepatutnya untuk bertemu Selangor untuk kita tetap fokus misi tiga mata,” jelasnya kepada Liga Bola Sepak Malaysia di sini.

Selain itu, satu lagi perlawanan Liga Super 2021 akan berlangsung pada malam esok membabitkan pasukan Kedah Darul Aman FC yang akan menerima kunjungan Sabah FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar. – MalaysiaGazette