Secretary-General of DAP, Anthony Loke Siew Fook
Secretary-General of DAP, Anthony Loke Siew Fook

KUALA LUMPUR – Kongres Kebangsaan DAP akan diadakan sebelum 30 Jun selepas semua Konvensyen Biasa Negeri selesai dilaksanakan, kata Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata Konvensyen Biasa Negeri akan berlangsung mengikut jadual bermula 14 Mac hingga 5 Jun, selari dengan keputusan kerajaan membenarkan mesyuarat agung tahunan pertubuhan berdaftar diadakan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Loke berkata semua jawatankuasa negeri telah diarah mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) seperti ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara.

“Semua jawatankuasa negeri diarahkan untuk menyediakan tempat persidangan yang besar dan sesuai bagi memenuhi syarat 50 peratus berdasarkan kapasiti saiz tempat mesyuarat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Konvensyen Biasa Negeri yang pertama akan diadakan di Perak pada 14 Mac diikuti Kedah (19 Mac), Pulau Pinang (21 Mac), Terengganu (26 Mac), Pahang (28 Mac), Kelantan (9 April), Negeri Sembilan (11 April), Melaka (18 April), Kuala Lumpur (25 April), Sarawak (1 Mei), Johor (2 Mei), Wilayah Persekutuan Labuan (22 Mei), Sabah (23 Mei), Perlis (30 Mei) dan Selangor (5 Jun).

Loke berkata cawangan-cawangan DAP negeri yang layak menghantar wakil ke konvensyen itu mesti memenuhi syarat yang ditetapkan oleh Ibu Pejabat Kebangsaan DAP iaitu cawangan bertaraf Sijil A atau cawangan baharu yang telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Cawangan sebelum 30 Sept 2020 dan semua dokumen mesyuarat yang lengkap telah dihantar ke Ibu Pejabat Kebangsaan sebelum 15 Okt 2020.

Sementara itu proses pencalonan untuk pemilihan ke jawatankuasa negeri sedang dijalankan dan senarai calon yang layak bertanding akan dihantar kepada setiap wakil mengikut syarat-syarat dalam Perlembagaan Parti.- BERNAMA