KUALA LUMPUR – Warganet melahirkan perasaan keliru terhadap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun tentang kerusi Parlimen yang disandang beliau.

Menurut pengguna Facebook Mohd Al Hafiz, beliau berasa pelik terhadap sebuah poster mengenai sumbangan Ahli Parlimen Titiwangsa itu kepada murid-murid tahun satu di sekitar Parlimen Sepang.

“Parlimen sendiri Parlimen Titiwangsa ada dapat ke?? Kompius jap..Kak Rina Parlimen Sepang or Titiwangsa?,” soal beliau di Facebook.

Mohd Al Hafiz merujuk kepada poster Rina yang menyampaikan sumbangan 10,000 beg sekolah kepada murid-murid tahun satu di sekitar Sepang.

“Sumbangan daripada Datuk Seri Rina Harun, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat 10,000 beg sekolah percuma untuk semua pelajar murid tahun satu Parlimen Sepang.

“Sila hubungi pihak sekolah untuk maklumat lanjut,” menurut poster itu.

Gegantung itu dipasang di sekitar Parlimen Sepang yang disandang Mohamed Hanipa Maidin daripada Parti Amanah Negara (Amanah).

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Amanah merupakan sekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Seorang pelajar, Hariff Ahamat berkata, beliau turut keliru melihat borang permohonan bagi mendapatkan beg berkenaan.

“Saya dengar sempena Back To School, YB Rina selaku Ahli Parlimen Titiwangsa memberi sumbangan ikhlas berupa beg sekolah kepada masyarakat Titiwangsa…

“Tapi sapa2 yang nak, kena isi borang. Tapi borang yg saya dapat drp media sosial ni macam ada silap taip…

“Ada sapa2 kat Titiwangsa dapat borang yang betul?,” soal beliau.

Dakwa Hariff, dalam borang itu hanya penduduk di Sepang dan Kuala Langat sahaja yang boleh memohon beg sekolah berkenaan.

“Patutlah tak pernah ada di kawasan…

“Rupanya Sepang dihatiku…
Titiwangsa dikakiku,” keluh Hariff.

Sementara itu, Azman Ariffin pula terperanjat dengan langkah Ketua Srikandi Bersatu.

Ujarnya, Rina menang di parlimen Titiwangsa namun peruntukan itu tidak disalurkan di kawasan parlimen itu.

“Menang kt ttwangsa tapi bagi daerah sepang.. apo bondo la YB.. myb dah xleh nk bg gula2 org2 kt ttwangsa sbb selama dia jadi MP Titiwangsa xde apa pun yg dia buat,” katanya.

Bagaimanapun, ibubapa kepada penerima subangan itu berkata, beg-beg yang diberikan sangat berkualiti dan diminati murid-murid sekolah.

“Balik sekolah dapat beg sekolah free. Cantik pulak. Alhamdulillah, rezki anak.

“Maceh Dato’ Rina,” kata pengguna Facebook Zulaini Ann.

Rina yang merupakan Ahli Parlimen Titiwangsa sejak 2018 dikhabarkan bakal bertanding di Parlimen Sepang memandangkan beliau kini semakin aktif menjalankan program-program akar umbi membantu rakyat khususnya di Sepang. – MalaysiaGazette