Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Langkah kerajaan membenarkan aktiviti rentas negeri untuk aktiviti pelancongan antara negeri yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini  mengelirukan orang ramai.

Mana tidaknya, masyarakat melalui media sosial mengeluh dan tidak faham sepenuhnya dengan syarat yang dikenakan yang pada mereka menyukarkan.

“Entahlah, aku pun tak faham sampai begini caranya.

“Tak apalah MKN (Majlis Keselamatan Negara), kami tak ralat pun tak melancong. Macam budak sekolah punya cadangan,” kata pengguna Facebook, Ahmad Fansuri Mohd Nasir.

Beliau merujuk kepada syarat yang disebut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob iaitu semua aktiviti pelancongan di negeri PKPP perlu menggunakan agensi pelancongan berdaftar dan kenderaan berdaftar sahaja untuk merentasi negeri.

Malah kenderaan persendirian tidak dibenarkan selain perjalanan mesti terus ke negeri PKPP lain selain dalam perjalanan tidak membenarkan berhenti di negeri Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Seorang lagi pengguna Facebook, Dania Arina pula  enggan untuk melakukan aktiviti pelancongan dan lebih rela tidak keluar daripada kawasan yang didiaminya selepas mengetahui arahan terbaharu MKN.

“Tidak mengapalah Pak Long (Ismail Sabri), saya rela duduk di Putrajaya sehingga habis segala PKP (Perintah Kawalan Pergerakan).

“Kalau ada keperluan, saya akan minta kebenaran rentas negeri. Kalau nak sengaja melancong ini, anakanda simpan niat murni ini di rumah dahulu,” katanya.

Nada sama turut diluahkan Nur Aainaa Khairunnisa kerana beliau tidak mempunyai pilihan dan hanya akan duduk di rumah.

“Nak melancong boleh antara negeri PKPP sahaja dengan syarat kena pergi dengan agensi pelancongan sahaja. Tak boleh pergi dengan kenderaan persendirian.. uhuhuu.. duk umah je la,” katanya lagi.

Awal hari ini, kerajaan mengumumkan Gelembung Pelancongan Bersasar yang membenarkan pelancong bergerak dari kawasan PKPP merentas negeri PKPP lain.

Kebenaran pergerakan itu tertakluk kepada penggunaan perkhidmatan agensi pelancongan berdaftar, merangkumi khidmat pengangkutan dan penginapan.

Ismail Sabri berkata, mesyuarat jawatankuasa teknikal meluluskan cadangan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya mengenai Gelembung Pelancongan Bersasar, bagi membantu memulihkan kembali ekonomi pelancongan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kerajaan benarkan gelembung pelancongan bersasar mulai esok

1 Komen

  1. hahahahha..nampak gayanya ornag malaysia sejak PKP nih dah jadi semakin bengong.. penjelasan di TV kelmarin tak cukup clear ka.. mungkin masa muda muda dulu buat perangai yang mcm budak sekolah naik motor di belakang baju dia ada tulis Fcuk cikgu..

Comments are closed.