Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Kerajaan melonggarkan syarat pergerakan bagi gelembung pelancongan domestik bersasar mulai esok, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau menjelaskan, kelonggaran itu khusus untuk pelancong yang berada di negeri bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sahaja manakala negeri yang dilaksanakan PKP Bersyarat (PKPB) masih dilarang.

Begitu juga larangan masih kekal bagi mereka yang dalam negeri PKPB untuk ke destinasi pelancongan di negeri PKPP, katanya.

“Orang di negeri PKPP hanya boleh melancong di negeri yang dilaksanakan PKPP sahaja. Itu pun kita kena syarat yang lebih ketat.

“Antara syaratnya ialah pergerakan mereka mesti menggunakan perkhidmatan syarikat agensi pelancongan yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC).

“Sebelum itu, mereka perlu mendapatkan kebenaran polis untuk merentas negeri PKPB termasuk menyatakan lokasi pelancongan itu, manakala pergerakan secara bersendirian tidak dibenarkan sama sekali,” katanya dalam sidang media hari ini.

Ismail Sabri berkata, dalam mesyuarat hari ini, kerajaan bersetuju menukar status pulau Langkawi kepada PKPP mulai esok, walaupun Kedah masih di bawah PKPB.

Dengan itu, katanya, pelancong domestik yang berada di negeri PKPP boleh melancong ke pulau Langkawi tanpa dibenarkan singgah di kawasan dalam negeri PKPB.

Beliau berkata, kerajaan melonggarkan syarat bagi gelembung pelancongan tempatan bersasar itu kerana bersimpati dengan industri itu yang hampir gulung tikar akibat PKP.

Ditanya bagaimana untuk pelancongan dari negeri PKPP hendak melancong sedangkan terpaksa melintasi kawasan PKPB, Ismail Sabri menjelaskan, mereka boleh meneruskan perjalanan tanpa berhenti ke kawasan larangan itu.

“Sebab itu kita galakkan mereka menggunakan perkhidmatan syarikat pelancongan bukan menaiki kenderaan sendiri, supaya pergerakan mereka boleh dipantau.

“Ini termasuk penginapan seperti hotel juga telah ditetapkan manakala aktiviti pelancongan itu perlu dilaporkan dalam borang rentas negeri,” katanya. – MalaysiaGazette