Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bercakap ketika sidang media lawatan Pusat Pemberian Vaksin di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Jalan Universiti Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 09 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Skim perlindungan pampasan kepada penerima vaksin Covid-19 dijangka diumumkan Isnin ini.

Pengumuman skim tersebut diharap dapat melegakan kebimbangan rakyat berkenaan pampasan sekiranya terdapat kesan sampingan daripada suntikan vaksin Covid-19.

Menurut Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar, skim tersebut akan diumumkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Dalam pada itu, Khairy berkata bahawa pihaknya masih merangka strategi bersama agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengetahui kedah terbaik pemberian vaksin Covid-19 kepada golongan pelarian dan pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini.

Satu mesyuarat koordinasi dengan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKl) juga akan diadakan untuk berbincang mengenai kaedah terbaik pemberian vaksin kepada golongan gelandangan.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata demikian kepada media selepas lawatan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM), Profesor Dr Nazirah Hasnan. – MalaysiaGazette