Irfan Bakti

KUALA LUMPUR – Ketua Jurulatih Kuching City FC, Irfan Bakti Abu Salim enggan barisan pemain mengambil mudah perlawanan menentang Terengganu FC II pada aksi Liga Premier 2021 malam ini selepas menyaksikan wakil Pantai Timur itu meraih kemenangan pertama minggu lalu.

Irfan menyifatkan kemenangan besar 4-0 pasukan TFC II ke atas Skuad Projek FAM-MSN, Sabtu lalu pastinya memberi amaran awal kepada anak buahnya menjelang pertembungan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Justeru, Kuching City FC tidak boleh leka dalam tempoh 90 minit perlawanan bagi memastikan mereka tidak tersungkur dan mampu mengutip mata apatah lagi ini merupakan perlawanan pertama pasukan memandangkan mereka tidak beraksi minggu lalu.

Setakat ini, komitmen setiap pemain dalam latihan cukup baik dan memenuhi apa yang diinginkan olehnya selaku jurulatih baharu dan beliau percaya skuad yang dibentuk pada musim ini mampu mencipta kejutan.

“Sejujurnya saya mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap pasukan saya dan walaupun kami tidak mendapat perlawanan persahabatan yang kompetitif sebelum ini, tetapi saya percaya pengalaman pemain-pemain dan pengalaman saya juga mampu untuk menghasilkan sesuatu yang positif pada musim ini.

“Memang saya nampak semangat semua pemain yang berkobar-kobar dan sudah tidak sabar untuk beraksi apatah lagi pasukan-pasukan lain sudah ghairah beraksi pada minggu lalu, jadi kami juga tak mahu terlepas mengutip mata.

“Yang penting, saya menghormati pasukan lawan dan selepas tahu mereka menang besar tempoh hari, saya mahu pemain-pemain kekal fokus dan dapat beri tentangan sengit malam ini,” jelasnya. – MalaysiaGazette