Suspek pemandu van dihadapkan ke Mahkamah bagi menghadapi pertuduhan selepas dipercayai memandu secara cuai dan menyebabkan pasangan suami isteri maut di Jalan Saujana Impian, Kajang. Foto FIKRI YAZID, 10 MAC 2021.

KAJANG – Seorang penghantar dokumen sambilan hari ini mengaku tidak bersalah atas dakwaan memandu kenderaan secara melulu sehingga menyebabkan kematian pasangan suami isteri.

Tertuduh Lokganathen Segaran, 28, yang berasal dari Taman Kenari, Kulim, Kedah membuat pengakuan itu setelah kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Syahrul Sazli Md Sain.

Terdahulu suspek yang berpakaian baju kemeja T hitam dan berseluar pendek dengan tangan bergari dibawa ke Mahkamah Majistret Kajang pada jam 9.30 pagi.

Mengikut fakta kes, Loganathen didakwa sebagai pemandu kenderaan van telah memandu kenderaan di atas jalan raya dengan cara melulu atau dengan kelajuan merbahaya kepada orang awam dan telah menyebabkan kematian terhadap Remyzan Baharudin, 42, yang merupakan pemandu kereta Perodua Bezza dan penumpang hadapan, Suzyla Ahmad Dahlan, 40.

Dia didakwa melakukan kesalahan yang berlaku pada kira-kira jam 4 petang 7 Mac lalu di Jalan Saujana Impian, Kajang di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 2020 dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Jika disabitkan kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda antara RM20,000 hingga RM50,000 serta hilang kelayakan lesen memandu untuk tempoh tidak kurang lima tahun daripada tarikh disabitkan kesalahan.

Bagi kesalahan berikutnya tertuduh boleh dipenjarakan maksimum lima tahun dan denda maksimum RM100,000 dan hilang kelayakan lesen memandu tidak kurang 10 tahun daripada tarikh disabitkan manakala lesen percubaan boleh dibatalkan.

Timbalan Pendakwaraya, Siti Nur Liyana mencadangkan wang jaminan sebanyak RM15,000 dikenakan dengan seorang penjamin serta pasport Loganathen diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Bagaimanapun peguambela, Malini Devi Selvaraj memohon mahkamah untuk mengurangkan wang jaminan dengan mengambil kira keadaan dan tanggungan tertuduh.

“Yang arif, tertuduh seorang yang berusia 28 tahun dan bekerja sebagai part time runner dengan gaji RM50 sehari manakala isterinya seorang suri rumah.

“Tertuduh juga mempunyai tanggungan ibu berusia 59 tahun dan ibu mertua berusia 41 tahun. Bapa kandungnya baru sahaja meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya enam bulan lalu dan keluarga tertuduh hanya membawa RM2,500 sebagai wang jaminan.

“Dengan mengambil kira kesemua faktor keluarga, saya memohon mahkamah supaya mengurangkan jumlah wang jaminan yang setimpal,” katanya.

Turut hadir ahli keluarga mangsa dan juga ahli keluarga tertuduh.

Setelah mendengar hujah, Majistret Syahrul Sazli menetapkan wang jamin sebanyak RM3,500 dikenakan kepada Loganathen dengan seorang penjamin dan tertuduh perlu melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berhampiran.

Beliau turut menetapkan 13 April ini sebagai tarikh penyerahan dokumen kes dan sebutan semula. – MalaysiaGazette