Armada menafikan ada kalangan pemimpinnya ditahan kerana mengedar ganja.

KUALA LUMPUR – Armada, sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia menggesa  kerajaan mengemukakan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan pendidikan keagamaan mereka.

Pengerusi Biro Undang-Undang Armada, Mohamad Siddiq Azani berkata, pihaknya bimbang terhadap keputusan mahkamah yang memutuskan bukan Islam boleh menggunakan kalimah Allah.

“Pemuda Bersatu berpendapat keputusan Mahkamah Rayuan yang diputuskan berdasarkan merit pada tahun 2013 yang tidak membenarkan bukan Islam menggunakan kalimah Allah kekal menjadi undang-undang tertinggi setakat ini.

“Oleh yang demikian, Pemuda Bersatu menggesa agar Mahkamah Tinggi menjelaskan perbezaan keputusannya dengan yang telah
diputuskan pada tahun 2013 tersebut demi mengelak dari spekulasi berterusan oleh orang awam,” kata Mohamad Siddiq dalam satu kenyataan semalam.

Justeru itu, pihaknya mengesa kerajaan PN untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Pemuda Bersatu juga menggesa Jabatan Peguam Negara untuk meneliti keputusan mahkamah tinggi semalam dan mengemukakan rayuan dalam hal ini agar ia dapat disemak semula oleh mahkamah rayuan.

“Dalam masa yang sama Pemuda Bersatu menggalakkan dialog dan perbincangan yang lebih inklusif bagi mencari penyelesaian terbaik berkaitan isu ini dengan mengambil kira faktor perbezaan sejarah, budaya dan bahasa di antara Semenanjung Tanah Melayu mahupun di Sabah dan Sarawak,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast