Antara produk steroid anabolik dan acnotin yang mengandungi steroid dan bahan terlarang serta pelbagai produk tidak berdaftar yang pernah dirampas oleh KKM. Gambar blog KP Kesihatan

DEWASA ini sering kali kita dimomokkan dengan promosi iklan produk kesihatan yang
berlebihan dakwaan keberkesanannya kononnya terbukti menyembuhkan pelbagai jenis
penyakit termasuk penyakit-penyakit kronik. Penjualan produk-produk ini semakin meningkat dek kerana mudahnya promosi produk melalui media sosial seperti Facebook dan Instagram juga secara dalam talian.

Apatah lagi, ketika negara dilanda wabak pandemik COVID-19, terdapat segelintir pengeluar produk yang mendakwa produk mereka dapat mengelak dan menyembuhkan penyakit berjangkit ini. Produk-produk kesihatan ini bukan sahaja merangkumi ubat-ubatan yang perlu diambil seperti pil, tetapi juga termasuklah produk yang perlu diminum, dicampur di dalam makanan atau minuman, disapu di bahagian badan
tertentu mahupun berbentuk pakaian seperti baju, seluar dan stokin.

Apa yang membimbangkan adalah liba tsama golongan selebriti dan berpengaruh dalam
mempromosikan produk kesihatan yang tidak mendapat kelulusan dari pihak kementerian. Malah ada juga mereka dalam alangan profesional termasuk doktor perubatan yang cuba untuk mempengaruhi pesakit jagaan mereka untuk mengambil produk kesihatan tambahan.

Perlu diingat, hal ini adalah bertentangan dengan etika pengamal perubatan
seperti mana yang telah digariskan oleh Malaysian Medical Council. Penggunaan selebriti
dan tokoh berpengaruh tidak lain dan tidak bukan untuk mewujudkan kesan plasebo kepada masyarakat dan pengguna produk. Kajian membuktikan bahawa seseorang itu adalah lebih tertarik untuk mencuba produk atau ubat-ubatan terutamanya jika ianya disyorkan atau dipromosikan oleh seseorang yang terkenal dan berpengaruh.

Penggunaan produk kesihatan yang tidak mendapat kelulusan dari pihak Kementerian
Kesihatan ini tidak lain dan tidak bukan hanya akan mengundang musibah ke atas diri
sendiri. Terdapat banyak laporan kesihatan yang dikeluarkan menunjukkan peratusan
mereka yang mengalami kegagalan buah pinggang meningkat akibat dari mengambil
pengambilan produk kesihatan yang mengandungi bahan-bahan terlarang. Di samping itu, bagi mereka yang mempunyai penyakit kronik, mereka sanggup meninggalkan ubat-ubatan yang telah diberi secara preskripsi oleh doktor perubatan semata-mata kerana ingin mencuba sesuatu yang baru.

Jikalau mereka mencampuradukkan penggunaan makanan, tambahan kesihatan dengan ubat yang telah diberi oleh doktor, kesan interaksi mungkin berlaku yang akan menyebabkan pelbagai kemungkinan yang buruk. Antaranya termasuklah kesan sampingan yang lebih teruk, kesan ubat yang berkurangan ataupun kesan toksik ke atas tubuh.

Masyarakat perlu lebih peka kepada golongan-golongan yang sering kali mahu mengambil
kesempatan di atas masalah orang lain. Penggunaan ayat-ayat yang berbentuk keagamaan di samping menggunakan hadis dan potongan ayat Al-Quran perlu diteliti dengan rapi samada ianya adalah sahih dan bersesuaian dengan produk yang dipasarkan. Kekhuatiran apabila penggunaan perkataan dan nama produk yang bercirikan Islam dapat mengaburi mata pengguna tentang realiti sebenar produk tersebut.

Selain itu, produk yang mengatakan dapat mengubati pelbagai penyakit adalah sesuatu
yang perlu diragui. Ini kerana berdasarkan prinsip asas farmakologi, jika produk tersebut
dapat menyembuhkan pelbagai penyakit maka ianya juga dapat memberi kesan sampingan yang sangat banyak. Produk seperti ini adalah merbahaya apatah lagi jika pengguna tersebut sememangnya telah mempunyai pelbagai jenis penyakit.

Masyarakat perlu dididik untuk mengenalpasti samada sesuatu produk itu adalah selamat
untuk diambil. Bagi pengguna Islam, setiap produk perlulah disahkan halal oleh pihak
JAKIM. Jika mereka memerlukan ubat-ubatan atau makanan tambahan, adalah lebih baik
jika ianya dibeli dari farmasi yang berdaftar. Selain itu, mereka perlu menyemak nombor
pendaftaran pada produk selain daripada mendapatkan pengesahan pendaftaran produk di laman sesawang Bahagian Regulatory Farmasi Negara (NPRA).

Walaupun pelbagai usaha telah dijalankan oleh pihak Kementerian Kesihatan bagi
meningkatkan kesedaran dan mengekang penjualan produk tidak berdaftar ini, ternyata
penjualan produk tidak berdaftar masih lagi tinggi. Selagi terdapat permintaan dari orang
ramai dan selagi kurangnya kesedaran masyarakat tentangnya bahaya penggunaan produk yang tidak diuji, maka segala usaha adalah sia-sia.Adalah perlu diingatkan selain kesan dari segi kesihatan, maka pengeluar produk kesihatan juga boleh diambil tindakan undang-undang jika produk tersebut mendatangkan kecederaaan, kemudaratan juga kematian kepada pengguna.

Dr.Natasya Abdullah,
Pensyarah Kanan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia &

Dr.Noor Dzuhaidah Osman,
Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast