Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid (tengah) ditemui pemberita di Ipoh, Perak hari ini.- Gambar Malinda Malik.

IPOH – Tindakan undang-undang termasuk Akta Hasutan menanti individu yang melakukan demonstrasi mempertikaikan keputusan mahkamah berhubung isu kalimah Allah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan penganjur serta peserta demonstrasi yang degil dan mahu meneruskan agenda turun ke jalanan susulan tidak puas hati dengan keputusan mahkamah.

Jelas Abdul Hamid, orang ramai perlu menghormati keputusan tersebut kerana ia diputuskan mengikut Perlembagaan.

“Sekiranya kita tidak hormati keputusan mahkamah maka hancur negara ini dan perlu diingatkan mahkamah diberikan kebebasan membuat keputusan yang difikirkan tepat mengikut Perlembagaan.

“Kalau mahu mahkamah buat keputusan mengikut citarasa kita sahaja tidak adil dan jika masih tidak puas hati buat proses rayuan atau bawa perkara ini ke Parlimen, buatlah undang-undang apa pun bukannya ambil langkah turun ke jalan.

“Saya beri nasihat dan amaran agar tidak meneruskan hasrat turun ke jalan tetapi jika masih degil kita akan ambil tindakan berdasarkan undang-undang sedia ada termasuk mengikut Akta Hasutan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pemakaian Sayap Juruterbang dan Penutupan Rasmi Kursus Lesen Private Pilot’s di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai sembilan pegawai kanan berpangkat asisten superintendan dan inspektor menerima pemakaian sayap juruterbang.

Menurut beliau, pihaknya tidak mahu mengembleng tenaga anggota dari Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) untuk mengawal demonstrasi memandangkan kekuatan mereka kini digunakan untuk memutuskan rantaian Covid-19.

“Saya perlukan tenaga yang banyak untuk menjaga sekatan jalan raya susulan pandemik Covid-19 dan tidak mahu anggota FRU dikerahkan pula untuk kawal demonstrasi,” ujar Abdul Hamid.

Semalam, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Razlan Rafii menegaskan, umat Islam sedia ke turun jalan raya sekiranya kerajaan gagal bertindak berhubung keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan bukan Islam menggunakan kalimah Allah.

Katanya, keputusan itu dibuat susulan kerajaan pimpinan Perikatan Nasional yang diterajui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat masih gagal mengambil tindakan drastik dengan mengemukakan rayuan berhubung keputusan mahkamah itu.

“Umat Islam sedia turun ke jalan raya bagi mengajar kerajaan sekiranya kerajaan gagal mengambil tindakan. Umat Islam sedia turun ke jalan raya bagi mempertahankan kalimah suci ini,” kata Razlan. -MalaysiaGazette