Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim kembali memberikan bayangan untuk mengambil alih kelab La Liga, Valencia.

Menerusi ciapan terbaharu di laman Twitternya, Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) jelas tidak berputus asa untuk memiliki pegangan dalam Valencia walaupun Presiden kelab, Anil Murthy menjelaskan bahawa kelab itu bukan untuk dijual.

“Penyokong berhak tahu kerana kelab ini milik anda. Saya boleh memiliki pegangan, tetapi kelab tetap milik penyokong. Saya hanya sekadar penjaga.

Walaupun tidak menyebut secara jelas ciapannya itu mengenai mana-mana kelab namun ramai yang beranggapan ia berkaitan dengan Valencia.

Malah, ciapan yang dibuat TMJ itu turut mendapat banyak reaksi daripada warga Sepanyol dan ada yang berharap impian beliau memiliki kelab itu menjadi kenyataan.

Menerusi satu lagi ciapan, TMJ menjelaskan beliau tidak akan membazirkan wang jika tidak percaya projek itu boleh dilakukan.

“Pertama, saya bukan ahli perniagaan. Mengapa perlu saya bazirkan wang dan belanjakan di negara asing. Jika saya melakukannya, ia kerana cabaran dan projek yang saya percaya,” katanya.

Sebelum ini, perkongsian TMJ di laman Instagram mengenai kemungkinan bakal membeli Valencia mendapat perhatian meluas termasuk media Sepanyol.

Namun, spekulasi itu reda selepas Murthy dilaporkan berkata pemilik Valencia, Peter Lim tiada hasrat untuk menjual kelab itu.

Spekulasi TMJ berminat untuk memiliki Valencia sebenarnya sudah mula muncul beberapa tahun lalu selepas beliau mengadakan pertemuan bersama Lim. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.