Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid.foto IQBAL BASRI, 13 OGOS 2018

KUALA LUMPUR – Langkah bekas Naib Presiden PKR, Xavier Jayakumar yang meninggalkan partinya hari ini dipersoalkan  Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid.

Beliau mendakwa alasan Ahli Parlimen Kuala Langat itu yang berkata kecewa dengan parti adalah retorik semata-mata.

“Senang cerita, kalau Xavier Jayakumar ini tak salah steady sahaja lawan tuduhan. Tapi kalau menyerah kalah itu maksudnya apa?

“Soal kecewa dengan parti itu retorik je. Betul tak? Ho… #dahsyat!,” tulisnya di Twitter hari ini.

PKR hari ini dikejutkan dengan keputusan Xavier yang mengumumkan keluar dari parti itu berkuatkuasa serta merta.

Beliau turut menyatakan sokongannya kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekarang sebagai wakil rakyat bebas.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata tindakan Xavier keluar parti hari ini didakwa mengakui menjadi sasaran siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Perkara itu dimaklumkan Ahli Parlimen Kuala Langat itu kepada pucuk pimpinan parti.

“Dr Xavier baru-baru ini telah bertemu pimpinan PKR memaklumkan bahawa pihak SPRM menjadikan beliau sasaran siasatan setelah SPRM sebelumnya menahan setiausaha politik, pembantu peribadi dan beberapa kenalan beliau berkait satu kes yang sedang berjalan,” katanya.

Sebelum itu, dua ahli Parlimen dari PKR iaitu Larry Sng (Julau) dan Steven Choong (Tebrau) telah meninggalkan PKR pada Februari lalu. – MalaysiaGazette