Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH) berharap kerajaan dapat mengumumkan kebenaran rakyat Malaysia mengerjakan haji dalam masa terdekat bagi membolehkan ahli-ahli persatuan itu memulakan operasi dan persediaan untuk pakej-pakej haji swasta mereka.

Sekiranya pengumuman kebenaran mengerjakan haji diumumkan lewat, PAPUH khuatir bakal jemaah haji tidak dapat diberikan vaksin Covid-19 yang memerlukan masa 28 hari selepas dos pertama diberikan.

Selain dari vaksin Covid-19, jemaah haji juga perlu mengambil vaksin meningitis, influenza dan pneumokokal seperti yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi.

”Ini akan mengambil masa lebih dari sebulan bagi melengkapkan kempat-empat dos vaksin yang telah ditetapkan,” kata presidennya, Datuk Seri Razali Mohd Sham.

Beliau turut merakam ucapan tahinah dan syabas kepada Perdana Menteri yang berjaya memperolehi tambahan 10,000 kuota haji, dari hasil pertemuan dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud baru-baru ini.

Dengan pertambahan kuota ini, menjadikan kuota rasmi haji Malaysia adalah sebanyak 41,600 orang, berdasarkan peratusan kuota haji yang ditetapkan oleh Arab Saudi untuk setiap negara iaitu pada kadar 0.1% daripada jumlah penduduk negara berkenaan.

Walaupun tambahan kuota haji ini hanya akan diluluskan selepas situasi haji kembali normal akibat pandemic Covid-19, rata-rata ahli PAPUH amat bersyukur dengan pengumuman itu dan tidak sabar untuk memasarkan pakej haji swasta mereka kepada
orang ramai.

”Ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka dalam perniagaan masing-masing selepas hampir setahun menutup operasi mereka,” ujarnya.

PAPUH juga berharap kerajaan dapat mempertimbangkan untuk memberi kebenaran kepada hospital dan klinik swasta bagi membantu kerajaan mempercepatkan program vaksinasi nasional.

PAPUH menaruh harapan yang tinggi, agar kerajaan lebih prihatin untuk membuka pintu sempadan semula dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi membolehkan rakyat Malaysia mengerjakan ibadah umrah mereka di bulan Ramadan. – MalaysiaGazette