MATEMATIK adalah satu bidang ilmu sangat lama. Subjek ini agak unik kerana ia menjadi sebahagian daripada keperluan kehidupan manusia yang telah terbangun sejak lebih 5,000 tahun dahulu oleh Sumerian. Ia merupakan suatu bidang ilmu yang menjangkau pelbagai bidang lain. Manusia tidak pernah berhenti berfikir untuk menambahbaik ilmu matematik. Manusia secara berterusan berusaha mencari jawapan kepada pelbagai persoalan matematik memperbaiki kehidupan masing-masing. Dalam konteks ini, ajaran agama Islam juga mengandungi aktiviti muamalat yang banyak berkait ilmu matematik. Realitinya, kehidupan manusia sentiasa mengukur dan berkomunikasi tentang masa, kuantiti, kualiti dan jarak. Semua ini menjadi komponen utama dalam ilmu matematik. Ilmu matematik mendidik pelajar dengan kemahiran menyelesai masalah, berkomunikasi secara matematik dan membuat keputusan yang tepat. Subjek ini penting dalam menyediakan tenaga kerja yang mampu memenuhi permintaan sebuah negara yang produktif dan progresif. Oleh itu, bidang ini berperanan memandu perkembangan peradaban manusia termasuk dalam bidang sains dan teknologi. Jelasnya, matematik mampu menjadikan kehidupan masyarakat global menjadi lebih baik.
Hari Matematik Antarabangsa (HMA) disambut setiap tahun pada tanggal 14 Mac, bermula pada tahun 2020. Pujian harus diberikan kepada sebuah organisasi antarabangsa iaitu International Commission on Mathematical Instruction (ICMI) dan International Mathematical Union (IMU). Ia merupakan organisasi saintifik bukan kerajaan (NGO) yang secara konsisten memantapkan pengajaran dan pembelajaran dalam kalangan pelajar dari peringkat sekolah rendah sehinggalah ke pengajian tinggi. IMU menjadi pengerusi Hari Matematik Sedunia yang akan diadakan di seluruh dunia pada 14 Mac 2021. Sambutan tersebut bertujuan mempromosi dan menjalin kerjasama dalam ilmu matematik dengan penglibatan daripada pelbagai organisasi antarabangsa.
Akademi Ilmuan Sains Matematik Malaysia (AISMM) menerajui sambutan Hari Matematik Antarabangsa di peringkat negara. Akademi ini merupakan NGO yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Negeri Selangor pada 19 September 2011. Keahlian dalam AISMM terdiri daripada profesor dan cendikiawan matematik yang berpengalaman. Sewajarnyalah, mereka menerajui usaha memantapkan ilmu matematik di negara ini. Penubuhan akademi ini bermatlamat untuk menjadi pemacu bagi meningkatkan kemajuan dan perkembangan sains matematik dalam pendidikan, penyelidikan, perundingan dan penyebaran maklumat. Di samping itu, akademi ini berperanan memperluas jaringan dan kerjasama akademik dengan pihak industri sehingga ke peringkat global. Akademi wajar diiktiraf kerana turut mengibar bendera Malaysia dalam jaringan bidang matematik di peringkat antarabangsa.
Sambutan Hari Matematik Antarabangsa pada setiap 14 Mac disambut di seluruh dunia. Semua negara telah dijemput untuk mengambil bahagian melalui aktiviti-aktiviti pelajar, guru, pensyarah, pengamal dan masyarakat umum di pelbagai institusi pendidikan dan kemasyarakatan. Mengikut sistem Amerika Syarikat, tarikh 14 Mac ditulis sebagai March, 14 atau 3.14. Dalam ilmu matematik, nombor ini dikenali sebagai phi atau simbol matematik π. Hari ini juga dinamakan the phi π day (iaitu bersamaan 3.14, 2021). Hari phi ini telah diisytiharkan oleh UNESCO dalam Persidangan Agung sesi ke-40 pada 26 November 2019. Sambutan hari phi pertama telah diadakan pada 14 Mac 2020.
Sambutan HMA berhasrat memberi kesedaran kepada masyarakat dunia tentang pentingnya bidang matematik dan menjadikan subjek ini relevan dan terus dimajukan. Ia serasi dengan Malaysia yang bercita-cita menjadi negara maju pada tahun 2020 dan terkehadapan dalam industri pembuatan dan perkhidmatan berasaskan teknologi tinggi. Ia sukar dicapai sekiranya bidang matematik di peringkat pengajian tinggi tidak dimajukan. Dalam pada itu, kepimpinan negara dan pihak berkepentingan perlu merancang, beriltizam dan beraspirasi untuk terus menjadi negara maju. Kita perlu melihat kembali sejarah dan mengambil pengajaran daripada apa yang telah berlaku dan membentuk aspirasi baharu. Untuk menjadikan dunia lebih baik, pelbagai pihak termasuk kerajaan, pembuat dasar dan pengurusan organisasi merujuk kepada AISMM dalam proses merancang dan membuat keputusan. Tarikh 14 Mac wajar diingati untuk membolehkan pihak kerajaan melihat peri pentingnya matematik dalam membuat sesuatu polisi atau keputusan. Dengan kekuatan tenaga ilmuwan dan pakar matematik, akademi ini mampu memberi sumbangan berimpak kepada dunia yang lebih baik.
Umum mengetahui bahawa Matematik Tambahan adalah mata pelajaran elektif di sekolah menengah, yang memenuhi keperluan pelajar dalam mendalami bidang S&T. Pencapaian subjek ini sangatlah rendah dan kelemahan subjek ini berlanjutan ke peringkat pengajian tinggi. Di peringkat pengajian tinggi, kelemahan Matematik Tambahan memberi kesan pencapaian pelajar dalam jurusan pengajian masing-masing. Akhirnya, setelah menamatkan pengajian, peluang pekerjaan sangat mencabar kerana persaingan sengit dalam pasaran pekerjaan. Jelasnya, kelemahan subjek matematik seolah-olah menjadi masalah sejak dahulu, kini dan selama-lamanya. Masalah ini perlu diatasi daripada semua peringkat termasuklah guru, silibus, pengkhususan, pengurusan dan sebagainya. Di sebalik kelemahan tersebut, fokus perlu diberikan untuk menarik minat pelajar dan masyarakat terhadap kepentingan menguasai ilmu matematik.
Hasil perbincangan dengan guru-guru di sekolah ketika bersama Kumpulan Pemantapan Pembelajaran Matematik (K3PM) Jabatan Sains Matematik, UTM, mendapati bahawa pelajar sekolah mempunyai persepsi negatif terhadap subjek Matematik dan Matematik Tambahan. Antara persepsinya adalah matematik susah, tidak nampak aplikasi matematik di alam pekerjaan, tidak nampak kepentingan matematik dalam pelajaran lain, tidak tahu kerjaya apabila menguasai matematik dan banyak lagi. Kesemua ini menyebabkan pelajar tidak berminat subjek matematik. Didapati juga para guru pun tidak mendalami peranan matematik di peringkat pengajian tinggi. Kurangnya minat tehadap ilmu ini menyebabkan sukarlah bagi guru menyampaikannya.
Oleh itu, usaha menyelesaikan masalah ini bukan diserahkan kepada guru semata-mata tetapi perlulah didedahkan kepada masyarakat untuk sama-sama berusaha menanganinya. Usaha ini harus dimulakan sejak dari peringkat usia muda lagi. Masyarakat harus sedar bahawa usaha untuk menarik minat mempelajari ilmu matematik ini hendaklah menjadi tanggungjawab semua. Matematik bukan untuk golongan elit atau segolongan komunti sahaja. Matematik untuk kehidupan yang lebih baik seharusnya menjadi pegangan semua pihak daripada ibu bapa, murid, guru dan komuniti umumnya.
Sehubungan dengan itu, AISMM ditubuhkan untuk menjalinkan kerjasama mempromosi ilmu matematik kepada masyarakat. Ia juga diharap dapat menjadi tempat rujukan kepada pembuat keputusan. AISMM mampu menjadi sebuah akademi dan pusat rujukan negara dalam bidang matematik, termasuklah yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran. Atas kesedaran inilah, AISMM mengambil inisiatif untuk bekerjasama dengan The International Mathematics Union (IMU) bagi mengadakan Hari Matematik Antarabangsa (HMA) pada 14 Mac 2020.
Kita semua maklum bahawa sejak bulan Mac 2020, Malaysia telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha membendung virus COVID-19. Langkah PKP dilaksanakan oleh pihak kerajaan setelah menerima nasihat daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Ia bertujuan bagi memastikan menyekat penularan wabak dan seterusnya dapat dihapuskan. Akibat pandemik ini, rancangan untuk mengadakan program Hari Matematik Sedunia untuk tahun 2020 terpaksa ditangguhkan kepada tahun 2021. Malangnya, masalah virus COVID-19 masih belum dapat diselesaikan. Terdapat beberapa buah negeri di Malaysia yang masih di bawah PKP yang melarang pergerakan merentas negeri. Oleh itu, pihak penganjur AISMM dan UTM mencadangkan supaya program IDM2021 dijalankan secara online sepanjang tahun 2021.
Pandemik COVID-19 sebenarnya elok dilihat daripada perspektif matematik. Para penyelidik tempatan telah membangunkan model matematik sebagai alat untuk memahami, memantau, dan mengawal penyebaran virus tersebut. Model jangkitan COVID-19 boleh dibahagi kepada tiga peringkat; iaitu peringkat awal jangkitan, pertengahan dan peringkat kritikal. Dengan ilmu matematik, kita boleh modelkan penyebaran virus dan seterusnya dapat meramal jangkitan pada masa hadapan dan keputusan tepat boleh diambil untuk menghapuskan virus ini. Malangnya, usaha penyelidikan berasaskan data kesihatan pesakit tidak dapat diperolehi untuk membolehkan model serakan COVID-19 dibangunkan. Justeru tanpa data, pemodelan matematik tidak dapat dilakukan.
Dalam pada itu, usaha merealisasikan matematik untuk dunia yang lebih baik memerlukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi termasuklah AISMM dalam membangunkan model matematik COVID-19. Pihak berwajib harus maklum bahawa matematik boleh digunakan untuk membuat model ramalan penyebaran penyakit dan model ramalan lain. Dengan adanya model, ia boleh memberi amaran kepada perubahan paten serakan dan membantu untuk menjangkakan dan mengurangkan risiko jangkitan. Ini sudah tentu akan menyumbang kepada kehidupan dunia yang lebih baik.
Untuk merelisasikan budaya pemikiran matematik, ia memerlukan kecekapan yang tinggi dalam setiap organisasi. Cekap dalam mengoptimumkan rangkaian pengangkutan dan komunikasi serta perancangan dan pengurusan strategik sistem kesihatan, ekonomi, dan sosial. Sains dan matematik mempunyai peranan penting dalam mengarahkan keputusan untuk mempromosi keadilan dan kesejahteraan sosial. Matematik itu adalah warisan budaya umat manusia. Ia hadir dalam pelbagai bidang kehidupan termasuklah seni, muzik, dan permainan, untuk kesejahteraan manusia. Jelasnya, matematik harus berperanan untuk membangunkan dunia dan kehidupan yang lebih baik.
Jabatan Sains Matematik (JSM), UTM dengan kerjasama AISMM akan menyambut HMA. Pihak UTM telah membuat keputusan untuk mengadakan HMA2021 bersama dengan sebuah sekolah luar bandar di daerah Pontian. Sekolah yang terpilih adalah Sekolah Kebangsaan Jeram Batu (SKJB), Pekan Nanas, Pontian. Pada tahun 2014, Sekolah Kebangsaan Jeram Batu mempunyai seramai 162 pelajar; 89 orang lelaki dan 73 orang perempuan, dengan bilangan guru seramai 16 orang. Sekolah ini telah angkat menjadi Sekolah Amanah (A Trust School). Sekolah ini telah membuktikan kemampuan mereka untuk memajukan pendidikan dalam kalangan anak-anak dengan wujudnya hubungan akrab antara guru, ibu bapa dan komuniti. Sekolah ini dipilih sangat bertepatan dengan tema sambutan Hari Matematik Antarabangsa 2020 iaitu Matematik di mana-mana (Mathematics is everywhere).
Sambutan Hari Matematik Antarabangsa ini mempunyai matlamat yang sangat murni. Antaranya, ia menggalakkan komuniti terlibat dalam ilmu matematik, mendedahkan penggunaan matematik dalam kehidupan seharian, membentuk minat matematik dalam kalangan murid sejak dari awal lagi; membangunkan persekitaran sekolah dan kawasan kondusif belajar matematik, dan membentuk pemikiran logik dan analisis. Sebuah Taman Matematik telah dibangunkan di SKJB untuk menyedarkan pelajar dan komuniti bahawa matematik itu ada di mana-mana dalam kehidupan. Sekolah ini juga telah dijadikan sekolah seliaan bagi JSM dalam bidang sains matematik.
Sambutan HMA tahun ini akan diadakan di SKJB. Dalam keadaan PKP kini, majlis pelancaran HMA2021 akan diadakan di UTM, yang akan dirasmikan oleh Tuan Haji Anuar bin Sukiran, Timbalan Pengarah, Jabatan Pelajaran Negeri Johor. Oleh kerana banyak program dirancang secara dalam talian, maka orang ramai boleh mengikuti majlis pelancaran melalui Webex Meeting http://bit.ly/intDAYofMATHS2021; Meeting number 184 307 8718; Kata laluan: Ah2wZKSiW68.
Pelbagai aktiviti telah dirancang secara online termasuklah syarahan mengenai ilmu matematik, pameran matematik di taman, permainan teng-teng, number maze, Multiplication Box, Mine Sweeper dan banyak lagi. Pelajar dan masyarakat akan didedahkan tentang kepentingan subjek matematik dan peranannya dalam kehidupan. Banyak maklumat akan boleh dipelajari menerusi laman sesawang program. Oleh itu, penglibatan pelajar sekolah, ibu bapa, pemimpin masyarakat amatlah diharapkan dalam menjayakan sambutan HMA2021. Untuk keterangan lanjut, boleh berhubung terus dengan pihak sekolah, guru besar +60167730169 atau Dr. Izat Emit +601121383807.