Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pengeluaran getah asli Malaysia menurun 8.2 peratus pada Januari 2021 kepada 45,735 tan metrik berbanding 49,825 tan metrik pada bulan sebelumnya.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, eksport getah asli Malaysia berjumlah 48,125 tan metrik pada Januari 2021, menurun sebanyak 21.8 peratus berbanding 61,547 tan metrik pada Disember 2020..

China terus kekal sebagai destinasi utama eksport getah asli iaitu 43.4 peratus daripada jumlah eksport pada Januari 2021 diikuti Iran (8.5%), Jerman (5.9%), Turki (5.1%) dan Finland (4.3%).

Sarung tangan getah merupakan item eksport utama dengan nilai eksport RM4.6 billion pada Disember 2020, meningkat sebanyak 21.6 peratus kepada RM5.6 billion pada Januari 2021.

Amerika Syarikat, Jerman dan China merupakan antara negara pengimport tertinggi sarung tangan getah.

Stok getah asli meningkat pada Januari 2021 kepada 278,817 tan metrik berbanding 249,551 tan metrik pada Disember 2020 dengan peningkatan 11.7 peratus.

Harga purata bagi Lateks Pekat merekodkan penurunan kepada 550.26 sen sekilogram berbanding Disember 2020 (582.79 sen sekilogram).

Menurut beliau, Getah Mutu Malaysia 20 (G.M.M. 20) turut menunjukkan penurunan kepada 628.58 sen sekilogram berbanding 628.74 sen sekilogram bagi tempoh yang sama.

Jabatan Perangkaan Malaysia juga melaporkan bahawa penggunaan getah asli di peringkat domestik pada Januari 2021 ialah 47,115 tan metrik, meningkat sebanyak 11.2 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Pembuatan sarung tangan getah terus mendominasi industri pembuatan getah asli iaitu sebanyak 35,978 tan metrik atau 76.4 peratus daripada jumlah penggunaan domestik. – MalaysiaGazette